Ketua sindiket proses, edar dadah sejak 30 tahun ditembak mati

Ketua sindiket proses, edar dadah sejak 30 tahun ditembak mati

HUSSEIN Omar Khan (baris depan, dua dari kanan) menunjukkan pelbagai peralatan memproses dadah yang dirampas semasa sidang akhbar di IPD Seremban, Seremban 2, Negeri Sembilan, semalam. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Lelaki yang ditembak mati dalam serbuan polis di sebuah rumah teres di Garden Homes, Seremban 2, di sini, kelmarin adalah ketua sindi­ket pemprosesan dadah dan berpengalaman menghasilkan bahan terlarang itu sejak lebih 30 tahun.

Lelaki tempatan berusia 52 tahun yang turut mempunyai senjata api itu juga dipercayai aktif dalam jenayah itu sejak 1990-an malah pernah ditangkap sebanyak tiga kali sebelum ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam operasi kira-kira pukul 1.30 petang itu, lelaki berkenaan ditembak selepas bertindak agresif ketika polis menyerbu sebuah premis kediaman yang dipercayai dijadikan makmal memproses dadah.

Katanya, pemeriksaan di rumah berkenaan menemukan pelbagai jenis dadah disyaki MDMA dengan nilai keseluruhan berjumlah kira-kira RM27.5 juta.

“Semasa serbuan dibuat, suspek bertindak agresif dengan melepaskan tembakan ke arah pasukan serbuan JSJN Bukit Aman.

“Bagi mempertahankan diri, pasukan serbuan terpaksa melepaskan tembakan ke arah suspek sebelum dia didapati tidak sedarkan diri dan pihak hospital mengesahkan suspek meninggal dunia di tempat kejadian.

“Suspek yang ditembak mati ini adalah ketua sindiket yang sangat aktif dan berbahaya serta memiliki senjata api.

“Dia dipercayai mempunyai kepakaran dalam memproses dadah kerana telah terlibat dalam kegiatan ini sejak tahun 1990-an dan pernah ditangkap tiga kali di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di sini semalam.

Tambah beliau, rampasan yang dilakukan membabitkan keseluruhan 182.39 kilogram (kg) dadah disyaki MDMA dalam bentuk cecair, ketulan, pil dan serbuk serta pelbagai peralatan memproses dadah dan sepucuk senjata api jenis revolver yang turut ditemukan di lokasi kejadian.

“Susulan serbuan itu, dua lagi siri serbuan dilakukan di sekitar Seremban 2 dan Tropicana Residence, Kuchai Lama, Kuala Lumpur yang membawa kepada penahanan dua ahli sindiket, iaitu seorang wanita dan lelaki tempatan berusia antara 32 hingga 35 tahun.

“Tiada dadah ditemukan di kedua-dua lokasi berkenaan namun siasatan mendapati kedua-dua suspek terbabit membantu kegiatan pempro­sesan dan pengedaran dadah bersama suspek yang ditembak mati untuk pasaran tempatan serta luar negara,” katanya.

Menurut Hussein, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Januari lalu dengan menjadikan kawasan perumahan berkepadatan penduduk rendah sebagai lokasi pempro­sesan dan pengedaran dadah.

Ia bertujuan mengaburi kegiatan mereka manakala rumah teres berkenaan dipercayai di­sewa selama kira-kira setahun.

“Suspek dipercayai memperoleh bahan prekursor dari luar negara dengan bantuan ahli sindiket lain termasuk negara di sebelah timur sebelum digunakan untuk memproses MDMA atau ekstasi di makmal berkenaan.

“Suspek utama turut dikehendaki polis bagi satu kes penculikan manakala hasil saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek yang ditahan positif methamphetamine dan ganja,” katanya.

Katanya, suspek wanita yang ditahan mempunyai 12 rekod jenayah lampau termasuk enam kes jenayah dan lima kes dadah manakala suspek lelaki berusia 35 tahun mempunyai 10 rekod lampau membabitkan satu kes jenayah dan selebih­nya kes dadah.

“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini (semalam) sehingga 13 September bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, JSJN turut menyita tiga kenderaan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti pengedaran dadah dengan nilai keseluruhan hampir RM100,000.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B ADB 1952. Masih Ada lagi beberapa suspek, ada yang telah melarikan diri ke luar negara. PDRM akan terus menjejaki dan memburu mereka,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×