BALING: Polis menemukan selaras senapang patah, sepucuk pistol tiruan dan lebih 180 butir peluru yang disembunyikan seorang mekanik di dapur dan loteng sebuah rumah, di sini Rabu lalu.
Ia merupakan rampasan baharu susulan tangkapan suspek bersama tiga pucuk pistol termasuk satu tiruan serta dua laras senapang angin di sebuah bengkel kenderaan pada 1 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Brandon Richard Joe berkata, rampasan itu dibuat hasil soal siasat lanjut terhadap lelaki berusia 45 tahun yang mendedahkan tentang sejumlah senjata api disembunyikan di rumahnya.
“Hasil pemeriksaan di bahagian dapur dan loteng rumah membawa kepada penemuan satu laras senapang patah jenama Remington Model 1100 buatan Amerika Syarikat dan sepucuk pistol tiruan bertulis Glock 19 Gen 4.
“Turut dijumpai ratusan peluru pelbagai jenis termasuk 22 butir jenis 5.56 pelbagai jenama dan 18 butir peluru Blank jenis 5.56 pelbagai jenama,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, di sini hari ini.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960.
Tambahnya, siasatan juga dilakukan bagi mengenal pasti rangkaian pembekalan senjata termasuk kemungkinan penglibatan pihak lain dalam aktiviti penyeludupan dan pemilikan senjata api secara haram.
Pada 5 Mei lalu, akhbar ini melaporkan seorang mekanik ditahan susulan penemuan tiga pucuk pistol termasuk satu tiruan serta dua laras senapang angin yang mendakwa menyimpan senjata api itu sebagai koleksi peribadi.
Hasil soal siasat mendapati senjata api itu dibeli dari negara jiran pada harga sekitar RM1,300 hingga RM1,500 dan dibawa masuk menerusi sempadan negara di Perak. Hasil ujian urin mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine. – UTUSAN










