Misteri kematian Ulung Deris

Misteri kematian Ulung Deris (Siri 3)

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hisham semakin tidak keruan. Kata-kata Munir tadi masih lagi terngiang-ngiang di telinganya. Apalah agaknya rahsia yang ingin diceritakan oleh rakannya itu. Semuanya masih lagi jadi tanda tanya. Cuma yang buatkannya teruja ketika ini adalah topik yang ingin dibangkitkan kepadanya. Iya, tentang bapa saudaranya Ulung Deris.

Selepas meninggalkan tanah perkuburan mereka tidak terus pulang ke rumah tetapi singgah di warung Pak Usop di hujung kampung. Selesai memesan minuman barulah Munir membuka cerita.

“Terlebih dulu aku hendak minta maaf pada kau. Aku tahu arwah Ulung Deris adalah bapa saudara kau, dan aku bukannya hendak memburuk-burukkan arwah atau nak adakan cerita. Ini adalah pengalaman yang aku lalui minggu lepas,” kata Munir perlahan.

Hisham tersenyum, dia faham maksud Munir itu. Dia tahu apa niat rakannya itu. Dalam hati kecilnya langsung tidak berdetik walau sekelumit untuk memarahi sahabatnya itu, cuma apa yang dia ingin tahu adalah kisah daripada rakannya itu.

Lantas Munir menceritakan tentang apa yang berlaku. Katanya, pada malam Jumaat dua minggu sebelum arwah meninggal dunia, dia ke sungai untuk menjala ikan. Kebetulan malam tersebut cuaca baik dan cahaya bulan juga cukup terang.

Hasil tangkapannya pada malam itu cukup lumayan. Baru beberapa kali dia menebar jala, sudah hampir suku guni beras ikan berjaya dikumpulnya. Seronok pula rasanya, sudah lama dia tidak merasai suasana sebegitu, kebetulan pula malam ini air baru pasang ke muara, lagi bertuahlah dia.

Sedang dia leka mengeluarkan ikan dari jaring jalanya, tiba-tiba dia terdengar kocakan kuat air di seberang tebing berdekatan. Dia kecilkan mata dan amati. Fikirnya mungkin ada penduduk kampung juga yang turut sama ke sungai waktu itu.

Setelah diamati barulah dia perasan rupa-rupanya sosok tersebut ialah Ulung Deris. Jelas kelihatan lelaki tua itu mengharung air sambil menuju ke tengah sungai.

Namun tiba-tiba jantung Munir berdebar kencang apabila melihat kelaku Ulung Deris. Dia berasa pelik, Ulung Deris tiba-tba menyelam ke dalam air. Munir pandang dengan penuh minat, hati kecilnya berbisik sendiri apa agaknya yang ingin dilakukan oleh orang tua itu.

Munir fikir jika dia ingin mandi kenapa perlu meranduk air sampai ke tengah sungai, lagipun tak pernah dibuat orang mandi di sungai waktu tengah malam sebegini.

Munir letakkan jalanya di tebing sungai. Niatnya untuk terus menjala terbantut. Matanya kini galak memerhati tingkah laku Ulung Deris. Dia ingin tahu apa sebenarnya yang ingin dilakukan oleh orang tua itu.

Hampir sepuluh minit berlalu kelibat Ulung Deris masih tidak muncul di permukaan sungai. Munir mula rasa tidak sedap hati. Sudah lemas ke dia? Atau sudah hanyut ke laut ke pula. Munir menanti dengan penuh debaran.

Hampir 10 minit menunggu, barulah Munir nampak kocakan besar di tengah sungai. Ulung Deris muncul berdiri. Namun kali ini dia bukan berseorangan tetapi bersama satu sosok lain yang sangat menyeramkan.

Hampir hendak tercabut jantung Munir melihatnya. Bersama Ulung Deris ketika itu adalah satu makhluk berwarna hitam, bertubuh tinggi lampai. Matanya merah menyala seperti bola api dan tingginya menyamai pucuk pohon bakau yang ada di tebing sungai.

Munir kaget. Mulutnya seakan terkunci. Tidak pernah lagi seumur hidupnya menyaksikan kejadian yang cukup meyeramkan itu. Perlahan-lahan dia menyusup masuk di celah-celah rumpun buluh di situ menyembunyikan diri.

Dia sempat melihat bagaimana Ulung Deris berinteraksi dengan makhluk yang menyeramkan itu, namun Munir tidak tahu apa biji butirnya kerana dia sendiri tidak berani untuk melihat lama.

Munir tidak tunggu lama selepas itu, terus dicapainya jala dan guni berisi ikan sebelum mencicit lari ke arah motosikalnya. Hampir dua hari juga dia demam panas kerana terkejut. Namun dia tidak menceritakan apa yang dilihatnya itu kepada sesiapa termasuklah ahli keluarganya.

Cerita tersebut tidak habis di situ. Dua hari berikutnya ketika dia sedang membeli barang keperluan di pasar dia terserempak dengan Ulung Deris. Munir jadi tidak tentu arah, fikirannya terus teringat apa yang berlaku pada malam Jumaat sebelumnya, dia risau kalau-kalau Ulung Deris tahu dia berada di sungai.

Namun dia cuba beranikan diri untuk menegur. Dia terus bersikap selamba seolah-olah tiada apa yang berlaku.

“Assalamualaikum Tok Ulung. Beli apa tu? Lama tak nampak Tok Ulung kat pasar ni,” katanya bersahaja.
Ulung Deris terus berpaling ke arahnya sambil tersenyum. Dia kenal sangat dengan Munir kerana kedua ibu bapanya juga pernah datang berubat dengannya beberapa kali sebelum ini.

“Oh, kau ke Munir, aku ingat siapalah tadi. Ha, aku ini baru balik dari Kalimantan semalam, jumpa kawan-kawan lama,” katanya sambil tersenyum.

Berderau darah Munir mendengarnya. Dia ingin meneruskan kata-kata tapi mulutnya kelu seakan terkunci. Terus dia minta diri dan berlalu pergi.

Sepanjang perjalanan pulang ke rumah otaknya ligat berfikir. Jika benarlah Ulung Deris tiada di kampung, jadi siapa pula yang dia lihat di sungai tempoh hari? Tak mungkin dia salah orang kerana dia kenal sangat Ulung Deris, malah sosok tubuh dan fizikal orang tua itu memang terpahat di fikirannya. -UTUSAN

 

Bersambung

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN