Demi hargai peminat, Syamel bersengkang mata hasilkan gelang manik - Utusan Malaysia

Demi hargai peminat, Syamel bersengkang mata hasilkan gelang manik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam kesibukan mengatur perjalanan baharu demi kekal relevan dalam berkarya, penyanyi, Syamel tidak pernah lupa untuk menghargai peminat yang sentiasa menyokong kerjaya seninya sehingga ke hari ini.

Pertama kali menghasilkan sejumlah gelang tangan manik sebagai hadiah, Syamel menyifatkan penghargaan terhadap peminat tidak semestinya datang dalam bentuk besar atau mewah, sebaliknya keikhlasan dan usaha peribadi itulah yang paling memberi makna.

“Saya mahu membuka lembaran baru ini dengan lebih segar dan berbeza. Bercerita mengenai hobi, saya ada hasilkan beberapa jumlah gelang tangan buat peminat.

“Sebelum ini saya tidak pernah lakukannya, ini kali pertama. Ia bukanlah hobi sebenarnya tetapi lebih kepada kejutan buat peminat sebagai tanda penghargaan terhadap mereka,” katanya kepada Pancaindera.

Tambah pemilik nama Syamel Aqmal Mohd. Fodzly, idea untuk menghasilkan gelang penghargaan itu muncul secara spontan sehari sebelum dia bertemu dengan peminatnya di majlis pelancaran lagu terbaharu yang berjudul Pertama.

“Idea untuk buat gelang itu secara tiba-tiba dan saya terus beli semua barang seperti manik dan benang sendiri. Saya memang tidak tahu bagaimana mahu buat gelang tersebut, tetapi saya cuba demi peminat yang disayangi,” kongsinya.

Biarpun sederhana pada pandangan mata, bagi Syamel setiap satu gelang itu membawa makna yang jauh lebih besar, bahkan simbol permulaan dan kenangan yang ingin diabadikan bersama mereka yang tidak pernah jemu menyokongnya.

“Gelang itu tidaklah hebat sangat pun, tapi mungkin boleh jadi sesuatu yang bermakna. Biasanya orang kata, setiap perkara yang berlaku pertama kali itu ada nilai sentimental.

“Disebabkan ini juga permulaan perjalanan baru, saya doakan perjalanan ini kekal lama. Mungkin lima tahun, 10 tahun nanti, mereka tengok gelang ini, akan ada nilai sentimental untuk kita semua,” katanya lagi.

Di sebalik sentuhan yang terhasil, tersimpan pengorbanan masa dan tenaga yang tidak sedikit apabila penyanyi berusia 33 tahun itu sanggup berjaga malam demi memastikan hadiah itu dapat disiapkan sendiri.

“Memandangkan idea itu muncul pada saat akhir, saya lakukannya dalam satu malam sahaja. Bersengkang mata jugalah dari pukul 11 malam sampai pukul empat atau lima pagi.

“Memang leceh sikit proses untuk membuat gelang tersebut, tapi saya berpuas hati dengan hasilnya. Saya buat sendiri setakat mana yang mampu sahaja,” jelasnya.

Ditanya mengenai kos yang dilaburkan, Syamel enggan berkongsi, sebaliknya menyifatkan proses itu sendiri memberi ruang ketenangan buat dirinya, malah membuka mata tentang makna sebenar hubungan antara artis dan peminat.

“Saya agak terkejut apabila saya boleh lakukannya sedangkan saya baru sahaja belajar. Tak sangka rupanya boleh buat. Ini membuktikan kalau kita mahu, kita boleh.

“Tapi yang lebih berharga adalah proses itu sendiri. Masa saya buat, rasa tenang. Kadang-kadang kita tidak sedar, kerja kita keluarkan lagu, kemudian lagu lain, dan seterusnya. Tapi proses itu tidak berhenti di situ.

“Peminat yang menyokong, mengundi, menaikkan lagu itu semua usaha mereka. Jadi, apa sangatlah gelang ini dibandingkan dengan pengorbanan mereka,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN