IPOH: Polis giat mengesan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian samun membabitkan seorang peniaga wanita di sebuah gerai ‘nasi bajet’ di Lebuh Meru Raya, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, dua beradik dikenali sebagai Paeh atau nama sebenarnya Mohd. Faiz Naharoddin, 36, dan Aboy atau Mohamad Arif, 25, kini diburu bagi membantu siasatan.
Katanya, alamat terakhir kedua-dua suspek adalah di Hala Meru Damai 13, Halaman Meru Damai di sini.
“Kedua-dua suspek merupakan warganegara tempatan dengan ciri-ciri fizikal, berkulit sawo matang dan bertubuh kurus dengan ketinggian antara 175 hingga 180 sentimeter.
“Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai individu terbabit diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Azrul di talian 017-5823467 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan kes tersebut dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Dalam kejadian pada Khamis lalu sekitar pukul 12 tengah hari itu, seorang wanita berdepan detik cemas apabila dua lelaki menunggang motosikal yang menyamar sebagai pelanggan melarikan peti wang mengandungi wang tunai berjumlah RM300 dan sebuah telefon bimbit.
Kejadian itu mendapat perhatian selepas tular di media sosial menerusi rakaman video berdurasi satu minit 25 saat yang dirakam peniaga wanita terbabit ketika sedang bersiaran langsung di aplikasi TikTok.
Difahamkan, telefon bimbit milik mangsa jenis iPhone 13 telah ditemui selepas dipercayai dicampak di kawasan perumahan di Halaman Meru Aman di sini pada hari sama kejadian berlaku. – UTUSAN










