Polis ambil keterangan 65 individu termasuk Nik Zawawi

Polis ambil keterangan 65 individu termasuk Nik Zawawi

MOHD. Yusoff Mamat menyampaikan surat penghargaan kepada pegawainya selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Polis  sudah mengambil 65 keterangan individu termasuk Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Nik Mohamad Zawawi Salleh berhubung kenyataan beliau yang didakwa menghina sahabat Nabi ketika menyampaikan ceramah politik di Terengganu, minggu lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Kita menerima 63 laporan polis dari seluruh negara melibatkan kenyataan berkenaan.

“Pada masa sama, polis akan merujuk perkara ini kepada pakar agama bagi menentukan unsur kesalahan sebelum siasatan dilengkapkan,” katanya selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

Mohd. Yusoff berkata, Nik Mohamad Zawawi memberi kerjasama baik sepanjang proses mengambil  keterangan dijalankan.

Pada 13 mei lalu, Utusan Malaysia melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang meneliti kenyataan kontroversi Nik Muhammad Zawawi itu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya masih menunggu maklumat lanjut sebelum siasatan serta tindakan lanjut dilakukan.

Terdahulu, tular video memaparkan Nik Muhammad Zawawi mendakwa Saidina Abu Bakar al-Siddiq sebagai ‘bapa ceti’ yang gemar memeras orang miskin semasa zaman jahiliyah manakala Saidina Umar al-Khattab pula digambarkan sebagai lelaki yang zalim serta suka berzina sebelum memeluk Islam. 

Bagaimanapun, Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas itu tampil memohon maaf dan mengakui bahawa beliau kurang cermat dalam mengolah serta menyampaikan maklumat ketika program tersebut. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN