PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh memberi jaminan perkhidmatan kepada penduduk Setiawangsa akan terus berjalan seperti biasa susulan keputusan Nik Nazmi Nik Ahmad mengosongkan kerusi Parlimen Setiawangsa.
Hannah berkata, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud diminta membantu memperkukuhkan peranan Pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Cawangan Setiawangsa bagi menangani isu tempatan dan memastikan setiap aduan penduduk terus diberi perhatian sewajarnya.
Katanya, langkah itu termasuk penambahan tenaga kerja bagi mempercepatkan tindakan di lapangan sepanjang tempoh berkenaan selain memastikan urusan di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan tidak terjejas.
“Saya mengucapkan terima kasih atas khidmat beliau kepada warga Kuala Lumpur sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Sebagai Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan, saya ingin memberi keyakinan kepada penduduk Setiawangsa bahawa perkhidmatan di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan akan terus berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Hannah, penduduk boleh terus hadir atau mengemukakan aduan melalui Pejabat DBKL Cawangan Setiawangsa di D’Wangsa, Jalan Wangsa Delima 13, Wangsa Maju.
Jelas beliau, pihaknya akan bekerjasama dengan semua pihak bagi meneruskan usaha melindungi dan memelihara Bukit Dinding agar kekal sebagai paru-paru hijau Kuala Lumpur demi manfaat penduduk setempat.
Media semalam melaporkan Nik Nazmi bersama Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mengumumkan peletakan jawatan masing-masing sebagai Ahli Parlimen berkuat kuasa hari ini.
Mereka turut mengumumkan keluar daripada parti itu berkuat kuasa Selasa, melalui surat kepada Setiausaha Agung parti berkenaan.
Dalam pengumuman sama, Rafizi dan Nik Nazmi memaklumkan mereka akan menulis secara rasmi kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, Isnin ini mengenai keputusan mereka untuk mengosongkan kerusi berkenaan. – UTUSAN










