PETALING JAYA: Penyedia penyelesaian infrastruktur bersepadu, PMW International Berhad (PMW) mencatatkan hasil sebanyak RM30.3 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026.
Prestasi itu didorong terutamanya oleh permintaan berterusan terhadap produk tiang dan cerucuk putar (spun poles and piles) di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak, yang menyumbang 74.1 peratus kepada jumlah keseluruhan hasil kumpulan.
Pengarah Eksekutif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif PMW, Lee Hon Hwa berkata, syarikat kini melangkah ke fasa pertumbuhan baharu melalui peluasan kapasiti operasi secara agresif untuk memenuhi permintaan pasaran infrastruktur, rangkaian utiliti, pusat data, serta projek telekomunikasi 5G.
“Permintaan untuk tiang dan cerucuk putar kami terus disokong oleh pembangunan infrastruktur, peluasan rangkaian grid elektrik dan inisiatif pelaksanaan 5G yang sedang berjalan.
“Malah, pemacu pertumbuhan struktur termasuk pelaburan pusat data, penggunaan kenderaan elektrik (EV), dan peluasan sektor industri juga dijangka mengekalkan permintaan jangka panjang bagi produk utiliti serta infrastruktur telekomunikasi,” katanya dalam kenyataan.
Terbaharu, PMW mengumumkan kejayaan memperoleh kontrak pesanan pembekalan cerucuk putar bernilai RM11.92 juta daripada SL Virtue Sdn. Bhd. bagi sebuah projek infrastruktur di Perak, yang mencerminkan penerimaan pasaran terhadap keupayaan kilang pembuatannya di Ipoh selepas peningkatan operasi dilakukan.
Bagi pasaran Malaysia Timur pula, PMW telah memeterai perjanjian bersama Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) untuk membina kilang pembuatan baharu di Tanjung Manis, Sarawak bagi menyokong permintaan infrastruktur di rantau tersebut.
Lembaga pengarah PMW turut meluluskan cadangan pembinaan sebuah lagi kilang pembuatan cerucuk putar baharu di Bemban, Perak bagi mengukuhkan keupayaan logistik dan bekalan ke wilayah Utara serta Tengah Semenanjung.
Apabila kedua-dua kemudahan baharu ini siap dan beroperasi sepenuhnya, jumlah kapasiti pengeluaran tahunan kumpulan dijangka melonjak secara drastik daripada sekitar 230,267 tan metrik ketika ini kepada lebih 838,000 tan metrik.
Dalam tempoh dikaji, syarikat yang baru tersenarai di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada November 2025 itu merekodkan untung kasar sebanyak RM7.4 juta, dengan margin untung kasar sekitar 24.4 peratus, manakala untung sebelum cukai (PBT) berada pada paras RM2.8 million.
Pihak pengurusan berkata, hasil bagi suku pertama lazimnya adalah lebih rendah berbanding suku-suku lain ekoran faktor musim perayaan, bilangan hari bekerja yang kurang, serta aktiviti projek yang bergerak perlahan dalam tempoh berkenaan.
“Seiring dengan prestasi itu, lembaga pengarah mengumumkan pengisytiharan dividen interim pertama pengecualian cukai satu peringkat sebanyak 0.3 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025,” katanya.
Dari segi kedudukan kewangan, PMW mengekalkan lembaran imbangan yang kukuh setakat 31 Mac 2026 dengan pegangan tunai, kesetaraan tunai, dan deposit tetap berjumlah RM93.0 juta, serta kekal berada dalam kedudukan tunai bersih sebanyak RM45.7 juta. – UTUSAN









