Permohonan kemasukan IPTA bagi lepasan tahfiz, UEC dibuka mulai 30 Jun ini - Utusan Malaysia

Permohonan kemasukan IPTA bagi lepasan tahfiz, UEC dibuka mulai 30 Jun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menetapkan permohonan bagi kemasukan pelajar lepasan di luar Sistem Pendidikan Kebangsaan ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) akan mula dibuka 30 Jun ini.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Azlinda Azman berkata, peluang itu terbuka kepada pelajar lepasan intitusi tahfiz dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC/UEC).

Beliau berkata, buat masa ini, pengambilan kemasukan ke IPTA bagi dua kumpulan itu akan dibuat secara terus oleh universiti berkenaan membabitkan lapan program yang ditawarkan empat universiti iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza).

“Setakat ini, bagi lepasan sekolah atau institusi tahfiz, program yang dikenal pasti ialah Diploma dan Sarjana Muda Dakwah; Diploma dan Sarjana Muda Al-Quran dan As-Sunnah; Sarjana Muda Pendidikan Tahfiz; dan Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah).

“Manakala bagi lepasan SMPC pula, program yang dikenal pasti ialah Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Cina dengan Kepujian; Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Cina; Sarjana Muda Sastera Pengajian Cina dan Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, permohonan pada 30 Jun ini akan dibuat secara terus oleh universiti berkenaan manakala, bermula tahun depan kemasukan akan dibuat menerusi UPUOnline.

Dr Azlinda berkata, calon daripada aliran di luar Sistem Pendidikan Kebangsaan itu bagaimanapun mesti mempunyai kelayakan dari institusi masing-masing bersekali memiliki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

Menurutnya, mereka perlu mendapat sekurang-kurangnya kepujian Bahasa Melayu serta lulus Sejarah sebagaimana ketetapan yang telah diputuskan.

“KPT ingin menegaskan bahawa semua permohonan kemasukan ke IPTA akan diproses berdasarkan prinsip meritokrasi, syarat kelayakan akademik serta tertakluk kepada penilaian dan keputusan Senat Universiti,” katanya.

Katanya, setiap permohonan akan diproses mengikut meritokrasi dan pemohon juga perlu melalui sesi temuduga termasuk bagi melihat tahap penguasaan bahasa mereka sebelum diterima masuk.

Ditanya sama ada KPT berhasrat mahu memperluaskan program pengajian bagi lepasan sistem pendidikan itu pada masa depan, Azlinda berkata, buat masa ini, tiada rancangan untuk memperluas kepada program lain.

“Ketika ini kita fokus kepada program itu sahaja. Yang (lapan program) ini adalah ketetapan yang telah dibuat oleh KPT,” katanya.

Sementara itu, Azlinda menjelaskan, pelajar lepasan luar sistem pendidikan kebangsaan yang diterima masuk ke IPTA juga berpeluang menikmati subsidi pendidikan kerajaan seperti pelajar IPTA lain.

“Apabila mereka masuk kepada program ini, ia dianggap sebagai saluran perdana. Maksudnya program mereka ini adalah disubsidi oleh kerajaan juga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN