PETALING JAYA: Permintaan buruh di Malaysia mencatatkan peningkatan 1.8 peratus tahun ke tahun dengan merekodkan sebanyak 9.23 juta jawatan pada suku pertama 2026.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, sektor ekonomi negara kekal kukuh meskipun berdepan krisis bekalan global yang dicetuskan oleh konflik di Asia Barat.
Menurutnya, pertumbuhan itu turut disokong oleh langkah awal kerajaan dalam mengimbangi ketidaktentuan global, termasuk pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan api.
“Daripada keseluruhan jawatan tersebut, sebanyak 97.9 peratus atau 9.03 juta telah diisi, manakala baki 2.1 peratus masih kosong. Sebanyak 32.7 ribu jawatan baharu turut diwujudkan pada suku tahun ini,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, momentum peningkatan jawatan diisi disokong oleh pertumbuhan positif hampir keseluruhan sektor ekonomi dengan sektor Perkhidmatan mendahului pada kadar 2.7 peratus.
“Sektor Perkhidmatan terus mendominasi dengan menyumbang 53.3 peratus atau 4.82 juta jawatan diisi, diikuti sektor Pembuatan sebanyak 2.41 juta (26.7 peratus) dan Pembinaan sebanyak 1.25 juta (13.9 peratus).
“Mengikut kategori kemahiran, majoriti jawatan diisi adalah dalam kategori separuh mahir dengan 5.62 juta (62.2 peratus), manakala kategori mahir dan berkemahiran rendah masing-masing merekodkan 2.28 juta serta 1.13 juta jawatan,” katanya.
Mengulas mengenai kekosongan jawatan, Mohd. Uzir berkata, terdapat 194.8 ribu kekosongan dengan sektor Pembuatan kekal sebagai pemacu utama merangkumi 113.0 ribu atau 58.0 peratus.
“Kekosongan ini tertumpu dalam subsektor produk elektrik, elektronik dan optikal (34.9 ribu) serta produk petroleum, kimia, getah dan plastik (18.9 ribu). Selain itu, sektor Pertanian dan Perkhidmatan masing-masing menyumbang 32.0 ribu serta 24.6 ribu kekosongan,” katanya.
Bagi pewujudan jawatan baharu, sektor Perkhidmatan menyumbang peratusan tertinggi dengan 15.9 ribu jawatan (48.6 peratus), terutamanya dalam subsektor Perdagangan borong dan runcit (9.3 ribu).
“Sektor Pembuatan dan Pembinaan pula masing-masing merekodkan 11.9 ribu dan 3.2 ribu jawatan baharu. Kategori separuh mahir mendominasi pewujudan jawatan ini dengan 21.0 ribu atau 64.1 peratus,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, perniagaan di Malaysia terus berdaya tahan meskipun menghadapi cabaran kenaikan harga tenaga dan kadar penghantaran yang memberi tekanan kepada margin keuntungan.
“Trend ini selari dengan pertumbuhan bilangan penduduk bekerja yang meningkat 1.0 peratus tahun ke tahun bagi tempoh yang sama,” katanya. –UTUSAN










