Pentagon dedah kos perang Iran meningkat RM113 bilion

Pentagon dedah kos perang Iran meningkat RM113 bilion

PENUNJUK perasaan memegang papan tanda dan bendera ketik berhimpun berhampiran Rumah Putih untuk membantah perang ke atas Iran di Washington, DC.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Kos perang Amerika Syarikat (AS) dengan Iran dilaporkan terus meningkat kepada sekitar AS$29 bilion (RM113.9 bilion), naik AS$4 bilion (RM15.7 bilion) berbanding angka yang dikemukakan dua minggu lalu, menurut pegawai kewangan Pentagon yang memberi keterangan di Capitol Hill pada Selasa.

Dalam sesi pendengaran itu, Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth, bagaimanapun enggan menyatakan jumlah dana kecemasan yang akan dimohon untuk menampung kos berkenaan, walaupun diasak berulang kali oleh penggubal undang-undang daripada parti Demokrat dan Republikan.

Perkembangan itu berlaku sehari selepas Presiden Donald Trump menyifatkan cadangan gencatan senjata baharu Iran sebagai ‘sampah’, manakala Teheran menuntut pampasan, kedaulatan ke atas Selat Hormuz serta pengakhiran penuh sekatan sebagai syarat sebarang perjanjian.

Dalam pada itu, laporan New York Times mendakwa penilaian risikan AS bercanggah dengan kenyataan pentadbiran Trump yang sebelum ini mendakwa keupayaan ketenteraan Iran telah dimusnahkan.

Laporan sama menyebut Iran kini memperoleh semula akses kepada 30 daripada 33 tapak peluru berpandu di Selat Hormuz, sekali gus membolehkan ia mengancam kapal perang AS dan kapal tangki minyak.

Teheran juga dilaporkan menguasai semula sekitar 90 peratus kemudahan simpanan dan pelancaran peluru berpandu bawah tanahnya.

Perkembangan itu berlaku ketika Trump tiba di Beijing hari ini, dengan laporan menyatakan beliau dijangka membincangkan perang Iran bersama Presiden China, Xi Jinping.

Dalam perkembangan lain, terdapat dakwaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi melakukan serangan balas secara rahsia terhadap Iran pada Mac lalu, manakala beberapa negara Teluk turut dilaporkan menahan puluhan warga Muslim Syiah atas tuduhan kesetiaan kepada Teheran sejak konflik AS-Israel dengan Iran tercetus.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN