LENGGONG: Cendawan susu rimau yang hampir pupus berjaya tumbuh semula di habitat asal di Kompartmen 194, Hutan Simpan Piah, menerusi projek pemulihan pertama di dunia bagi memelihara spesies kulat perubatan berkenaan.
Projek digerakkan Yayasan Bambusa dengan sokongan kerajaan negeri itu menyaksikan spesies nadir berkenaan kembali tumbuh secara semula jadi selepas benih pertama ditanam pada 29 September 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bambusa, Dr. Muhammad Hakim Abdullah berkata, kejayaan itu membuktikan cendawan susu rimau yang sebelum ini hanya berjaya ditanam di makmal kini dapat dipulihkan semula ke habitat asalnya.
“Kita tidak sangka selepas hampir tiga tahun, cendawan susu rimau atau Lignosus rhinocerus ini akhirnya menjelma semula di habitat liar dan kini sudah menjadi cendawan induk.
“Ini membuktikan usaha konservasi dan pemulihan spesies hampir pupus ini berjaya dilaksanakan dalam hutan sebenar,” katanya ketika ditemui di tapak projek berkenaan di sini.

Projek itu bukan sahaja menjadi pencapaian saintifik baharu negara, malah berpotensi meletakkan Lenggong sebagai pusat rujukan mikologi dan etnobotani bertaraf antarabangsa.
Muhammad Hakim berkata, komuniti Orang Asli suku Lanoh dari Kampung Air Bah turut memainkan peranan penting sebagai kustodian hutan, renjer dan peneraju utama projek konservasi tersebut.
“Mereka kita latih untuk memetik benih, menanam semula dan memantau kawasan konservasi ini. Semua hasil daripada produk hiliran yang dibangunkan juga akan kembali semula kepada komuniti,” katanya.
Sehingga kini sebanyak 500 benih cendawan ditanam dan pihaknya menyasarkan penanaman 2,000 benih setiap bulan bermula Julai ini.
Kawasan seluas kira-kira 250 hektar itu dipilih berdasarkan faktor kelembapan, suhu, struktur tanah dan kesesuaian habitat bagi memastikan pertumbuhan kulat berlaku secara semula jadi. –UTUSAN










