Penolakan usul di tangan Speaker DUN Sabah - Armizan

Penolakan usul di tangan Speaker DUN Sabah – Armizan

ARMIZAN Mohd Ali ketika sidang akhbar di Pejabat Urus Setia Daerah Papar, hari ini. UTUSAN/ RAESSAH HANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAPAR: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelaskan, penolakan usul persendirian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Chin Tek Ming berhubung pemberian khas 40 peratus hasil Sabah baru-baru ini bukan keputusan gabungan itu.

Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penolakan usul berkenaan dalam sidang Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN) minggu lalu dibuat atas kuasa dan keputusan Speaker DUN.

Menurut beliau, keputusan itu tidak bermaksud DUN Sabah dan kerajaan negeri menolak perjuangan menuntut pemberian khas 40 peratus seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

“Persepsi ini perlu dibetulkan. Kerajaan negeri konsisten dalam menuntut hak 40 peratus sama ada di dalam atau di luar DUN termasuk melalui saluran mahkamah.

“Kerajaan negeri tegas bahawa hak 40 peratus ini adalah hak berperlembagaan yang wajib ditunaikan,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Urus Setia Daerah Papar, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri telah menjelaskan perkembangan rundingan termasuk cadangan peningkatan kadar pemberian khas berdasarkan data pungutan cukai semasa.

Katanya, kerajaan negeri menyasarkan peningkatan daripada kira-kira RM600 juta ketika ini kepada sekurang-kurangnya RM3 bilion setahun pada peringkat awal dan mahu ia dilaksanakan segera.

Dalam pada itu, beliau mendakwa usul yang dibawa ADUN Kapayan lebih bermotif politik.

Menurutnya, tindakan itu dilihat sebagai usaha Parti Warisan (WARISAN) untuk menonjolkan diri sebagai pejuang utama dalam isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kerajaan negeri sedang bergerak secara agresif menuntut hak berkenaan dan tidak masuk akal untuk ADUN kerajaan menyokong usul persendirian yang boleh mengelirukan rakyat,” katanya.

Armizan turut mendakwa terdapat cubaan untuk menutup kesilapan pentadbiran kerajaan negeri terdahulu yang diterajui WARISAN pada tahun 2019.

Beliau berkata, pada Ogos 2019, kerajaan negeri ketika itu dilaporkan berpandangan bahawa tuntutan MA63 termasuk 40 peratus tidak wajar dibawa ke mahkamah.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri ketika itu turut bersetuju dengan semakan kadar Pemberian Khas di bawah Perkara 112(C) Perlembagaan Persekutuan pada jumlah hanya RM53.4 juta melalui surat rasmi kepada Kementerian Kewangan pada Oktober 2019.

“Satu tindakan yang amat cuai dan membelakangkan kepentingan negeri,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN