Pengkelasan T20 bukan gambaran realiti ekonomi sebenar - Utusan Malaysia

Pengkelasan T20 bukan gambaran realiti ekonomi sebenar

Akmal Nasrullah Mohd. Nasir
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengkelasan ‘T20’ tidak menggambarkan realiti ekonomi sebenar sebaliknya perlu dilihat secara menyeluruh kerana perbandingan ekonomi melibatkan pendapatan, perbelanjaan asas dan faktor lain.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kerajaan tidak mengklasifikasikan rakyat Malaysia secara ketat mengikut kumpulan pendapatan seperti T20 dalam merangka dasar subsidi.

Beliau menegaskan, pendekatan lebih menyeluruh dan holistik diperlukan dalam perbincangan berkaitan penyasaran subsidi.

“Kementerian mengelakkan penggunaan klasifikasi rigid seperti “T20” kerana pendapatan isi rumah semata-mata tidak menggambarkan realiti ekonomi sebenar.

“Saya sebenarnya tidak begitu menggunakan istilah T ini atau T itu. Dari sudut Kementerian Ekonomi, lebih relevan untuk melihat perkara ini secara menyeluruh kerana perbandingan ekonomi bukan hanya berkaitan pendapatan, tetapi juga perbelanjaan asas dan faktor lain,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Akmal, rasionalisasi subsidi kekal sebagai sebahagian daripada agenda penstrukturan semula ekonomi kerajaan yang lebih luas bagi memastikan bantuan disalurkan dengan lebih berkesan kepada kumpulan sasar.

Katanya, perkara itu sentiasa dinilai menerusi perancangan jangka panjang termasuk Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), selain respons jangka pendek terhadap tekanan ekonomi semasa.

“Daripada perspektif Kementerian Ekonomi, apa yang cuba dicapai sama ada melalui RMK13 atau ketika berdepan cabaran ekonomi ialah keperluan untuk menstruktur semula ekonomi ke arah keadaan lebih baik bagi memastikan kesinambungan dan daya tahan,” katanya.

Mengulas lanjut, Akmal berkata, perbincangan mengenai pengagihan subsidi yang lebih bersasar sentiasa dijalankan, khususnya bagi memastikan program kerajaan benar-benar sampai kepada penerima yang layak.

“Sentiasa ada perbincangan untuk menjadikan subsidi lebih bersasar kerana kita mahu program dan sumbangan sampai kepada kumpulan yang tepat.

“Cabaran utama ialah menentukan had atau kriteria yang boleh digunakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN