PETALING JAYA: Seorang penganggur yang memiliki 10 rekod jenayah antara dua lelaki warga tempatan yang ditahan polis malam tadi bagi membantu siasatan kes kecurian kabel di Taman Bukit Mewah, Kajang.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kedua-dua suspek ditahan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang di sekitar Kajang dan Bandar Baru Bangi antara pukul 8.15 hingga 10 malam.
Katanya, tangkapan dibuat hasil maklumat orang awam serta risikan berterusan susulan kejadian tular membabitkan aktiviti mencuri kabel di kawasan perumahan berkenaan.
“Semakan turut mendapati seorang daripada suspek berusia 43 tahun turut mempunyai empat rekod berkaitan narkotik manakala seorang lagi suspek berusia 29 tahun yang bekerja sebagai peniaga burger memiliki satu rekod jenayah lampau.
“Kedua-dua suspek telah direman sehingga 12 Mei bagi membantu siasatan lanjut. Polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Perodua Axia berwarna perak yang dipercayai digunakan ketika kejadian berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Naazron, usaha mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas kini sedang giat dijalankan oleh pihak polis.
Katanya, sebelum ini, polis menerima laporan pada pukul 4.45 petang berhubung kejadian curi kabel yang dipercayai berlaku sekitar pukul 5.15 petang kelmarin.
“Siasatan awal mendapati tiga lelaki terlibat dalam kejadian itu dengan menggunakan kereta Perodua Axia bagi memotong kabel milik Telekom Malaysia.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan serta Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Polis dalam masa sama merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada tangkapan suspek,” katanya.
Sebelum ini, satu rakaman video tular di media sosial memaparkan beberapa individu dipercayai sedang melakukan kegiatan mencuri kabel di sebuah kawasan perumahan di Kajang.
Bagaimanapun, sebaik perbuatan mereka disedari penduduk sebelum kesemua suspek melarikan diri dari lokasi kejadian dengan menaiki sebuah kenderaan. – UTUSAN









