Penduduk RKT Kesedar Chalil resah gajah kerap 'melawat' - Utusan Malaysia

Penduduk RKT Kesedar Chalil resah gajah kerap ‘melawat’

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Lebih 1,000 penduduk di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Chalil di sin, hidup dalam kebimbangan apabila gajah kerap ‘melawat’ kampung mereka sehingga empat kali sebulan sejak dua tahun lalu.

Kejadian terbaharu pagi kelmarin mencetuskan panik apabila seekor gajah jantan dikesan berkeliaran di kawasan penempatan ketika penduduk sedang menghantar anak ke sekolah.

Pembantu Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) RKT Kesedar Chalil, Nur Amelia Mohd. Nor @ Hamzah, 30, berkata, dia berdepan detik mencemaskan apabila terserempak dengan haiwan itu kira-kira pukul 6.58 pagi ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

Katanya, ketika itu dia menunggang motosikal menuju ke tabika berhampiran Masjid Chalil sebelum ternampak seekor gajah berada hanya beberapa meter di hadapannya.

“Gajah terbabit berada beberapa meter di depan saya ketika dalam perjalanan menuju ke Masjid Chalil dan di depan bangunan tabika. Saya yang terkejut terus memaklumkan kepada rakan yang tinggal berhampiran kawasan masjid selain menghalang beberapa penduduk daripada melalui jalan tersebut.

“Kejadian ini sangat mencemaskan dan penduduk dapat melihat dengan jelas pergerakan haiwan terbabit dari jauh,” katanya ketika ditemui di RKT Kesedar Chalil, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Mukim Chalil, Hasan Saleh berkata, gangguan gajah sudah berlarutan lebih dua tahun apabila haiwan berkenaan kerap memasuki kawasan ladang dan penempatan penduduk.

Katanya, hampir 200 peneroka mengalami kerugian apabila tanaman mereka musnah akibat serangan haiwan itu.

“Masalah ancaman gajah bermula sejak 2024 apabila haiwan itu memusnahkan pokok sawit penduduk yang menjadi sumber pendapatan kami. Bermula tahun ini, hampir empat kali dalam sebulan gajah muncul di kawasan kampung,” katanya.

Menurut Hasan, laporan sudah dibuat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan operasi menangkap gajah juga telah dijalankan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN