Penduduk Gaza hargai solidariti GSF 2.0 walau disekat Zionis

Penduduk Gaza hargai solidariti GSF 2.0 walau disekat Zionis

Penduduk Palestin melalui kawasan khemah penempatan sementara di Khan Yunis, utara Gaza semalam. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penduduk Gaza menyambut baik misi kapal Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0, yang disifatkan sebagai satu bentuk solidariti antarabangsa yang besar maknanya walaupun tidak berjaya memasuki perairan Gaza.

Eksekutif Advokasi dan Penyelidikan MyCARE, Megat Aiman Hakim Megat Shariffudin berkata, penduduk Gaza melihat usaha tersebut sebagai satu bentuk pengorbanan dan solidariti yang perlu dihargai, memandangkan ia melibatkan seramai 428 aktivis dari pelbagai negara.

“Bagi penduduk Gaza, ini bukan sekadar bantuan, tetapi satu bentuk solidariti yang le­bih besar.

“Penduduk Gaza menyambut kedatangan kapal-kapal GSF 2.0 dengan ekspresi simbolik seperti nyanyian dan lukisan mural, sebagai tanda sokongan dan penantian terhadap misi berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, apabila kapal-kapal flotila disekat, tumpuan pihak tentera Israel didakwa beralih kepada operasi pemantauan terhadap misi tersebut, sekali gus secara tidak langsung memberi sedikit ruang kepada penduduk Gaza menjalankan aktiviti di laut.

“Apabila tumpuan kepada flotila, penduduk Gaza dapat sedikit peluang untuk turun ke laut dan menangkap ikan.

“Sebelum ini, mereka hanya dibenarkan berada dalam kawasan perairan yang sangat terhad, sekitar beberapa puluh batu nautika sahaja, jadi situasi ini memberi sedikit kelegaan sementara,” katanya.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Megat Aiman berkata bantuan kemanusiaan yang memasuki Gaza ketika ini masih berada pada tahap sekitar 30 peratus sahaja, dan sebahagian besarnya tidak memenuhi keperluan sebenar penduduk.

“Itu pun 70 peratus daripada bantuan yang masuk itu tidak mampu meringankan beban penduduk Gaza.

“Bantuan yang masuk terdiri daripada barangan yang tidak membantu nutrisi penduduk Gaza seperti makanan ringan, kopi, gula, coklat serta barangan elektronik seperti telefon dan simkad.

“Manakala bekalan penting seperti minyak petrol, diesel, khemah-khemah dan ubat-ubatan sangat terhad.

“Bagi bantuan untuk pembinaan semula rumah dan infrastruktur pula, termasuk bahan asas seperti simen dan batu-bata hampir tidak wujud di Gaza,” katanya.

Beliau berkata, ini dise­babkan syarat oleh Board of Peace iaitu lembaga keamanan yang ditubuhkan oleh Donald Trump bagi menyelia gencatan senjata di Gaza.

“Lembaga itu menetapkan bahawa bantuan pembinaan semula rumah dan sekolah hanya dibenarkan masuk sekiranya pejuang Hamas dan Al-Qassam meletakkan senjata.

“Bagaimanapun, peletakan senjata itu tidak berlaku sehingga kini kerana ia dilihat sebagai satu langkah yang boleh dianggap sebagai ‘bunuh diri’, selain bertentangan dengan undang-undang antarabangsa yang membenarkan hak penentangan oleh mana-mana rakyat yang dijajah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN