Penangan Syakur Rahman, Fikry Ibrahim terharu tular hingga ke Bangladesh - Utusan Malaysia

Penangan Syakur Rahman, Fikry Ibrahim terharu tular hingga ke Bangladesh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Fikry Ibrahim, meluahkan rasa terharu apabila watak Syakur Rahman lakonannya dalam filem Libang Libu menerima sambutan luar biasa daripada penonton.

Fikry atau Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim, 32, yang membawakan karakter pemandu e-hailing warga Bangladesh, tidak menyangka watak tersebut bukan sahaja meraih komen positif, malah turut mendapat perhatian masyarakat di negara itu.

“Alhamdulillah, saya tidak sangka sambutan terhadap filem ini begitu baik. Saya anggap ini satu bonus apabila karya kami dihargai, termasuk watak Syakur Rahman. Ini antara momen paling bermakna dalam kerjaya saya.

“Karakter ini memberi impak positif apabila saya menerima komen yang dipercayai daripada masyarakat Bangladesh. Mereka turut memuat naik video dan memuji watak pemandu e-hailing itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia pada Sabtu.

Melihat potensi besar watak tersebut, penonton mula mendesak pengarah, Bobby Husaini agar menghasilkan naskhah khas yang memfokuskan kepada karakter Syakur Rahman.

Mengulas perkara itu, Fikry terbuka terhadap sebarang perancangan selain merakamkan penghargaan kepada penonton atas sokongan yang diberikan.

“Saya teruja apabila Bobby memberi bayangan bahawa watak ini mungkin mempunyai kesinambungan. Saya percaya setiap karakter dalam filem ini boleh diteroka dengan lebih mendalam.

“Terima kasih kepada semua yang menonton, daripada pelbagai lapisan masyarakat, terutamanya golongan warga emas,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fikry turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan penulis skrip yang berjaya membentuk watak tersebut dengan berkesan.

“Terima kasih kepada penulis skrip, Aloy Paradoks dan Taqim, serta pengarah yang memberi ruang dan keselesaan kepada kami, selain memastikan lakonan tidak terkeluar daripada tujuan asal.

“Tidak dilupakan pasukan busana yang berjaya memilih kostum bersesuaian untuk menghidupkan watak ini,” katanya.

Terdahulu, seorang pengguna media sosial berkongsi klip laporan berita yang memaparkan watak Syakur Rahman dalam Libang Libu mendapat perhatian masyarakat di Bangladesh.

Libang Libu terbitan Tangerine Films Sdn. Bhd. mula ditayangkan di pawagam pada 23 April lalu.

Filem tersebut mengangkat kisah sebuah produksi filem bukan Melayu yang menjalankan penggambaran di sebuah kampung Melayu di Perak, dengan pertembungan budaya, agama dan gaya hidup menjadi teras penceritaan.

Antara pelakon lain yang membintangi naskhah ini ialah Amerul Affendi, Nabila Huda, Zahiril Adzim, Ozlynn Wati, Sabri Yunus, Khir Rahman dan Azhan Rani. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN