GUA MUSANG: Seorang pemuda yang tular di laman sosial selepas ‘melayang’ ditanduk seekor lembu korban di Taman Kesedar Putra 1 di sini hari ini mengakui tersenyum setiap kali menonton semula rakaman insiden berkenaan.
Dalam kejadian pukul antara pukul 10.30 hingga 11 pagi itu, mangsa Fahmi Ibrahim, 29, mengalami kecederaan pada ibu kaki kanan, lutut serta tapak tangan kanan.
Fahmi, berkata, perasaan trauma pada awalnya itu bertukar lucu selepas berulang kali menonton semula rakaman tersebut.
“Kalau ikut perasaan awal memang macam trauma juga, tetapi bila tengok balik video itu rasa lucu pun ada.
“Mungkin saya dan lembu itu sama-sama terkejut masa kejadian berlaku,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Bercerita lanjut detik cemas itu, Fahmi memberitahu, sebelum kejadian di baharu selesai memindahkan daging untuk dipotong ke kawasan khemah agihan.
Katanya, secara tiba-tiba lembu keenam yang merupakan haiwan terkahir untuk ibadah korban itu dipercayai bertindak agresif sebelum terlepas daripada kawalan.
“Situasi itu menyebabkan suasana bertukar kecoh apabila orang ramai bertempiaran melarikan diri. Ada tiga orang hampir kena tanduk sebelum itu, tetapi mereka sempat mengelak.
“Saya pula tidak sempat dan tidak perasan lembu itu berada di belakang. Ingatkan dah lepas, rupa-rupanya lembu itu ada di belakang,” ujarnya.
Fahmi berkata, insiden tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk terus membantu program korban bersama penduduk kampung pada masa akan datang.
“Insya-Allah tahun depan saya tetap akan tolong lagi,” katanya.
Terdahulu tular rakaman video di laman sosial Threads yang memaparkan seorang lelaki ‘melayang’ ditanduk seekor lembu korban.-UTUSAN










