Pemandu Malaysia buat 'onar' di Hat Yai serah diri

Pemandu Malaysia buat ‘onar’ di Hat Yai serah diri

Pemandu Malaysia buat 'onar' di Hat Yai serah diri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAT YAI (THAILAND): Seorang lelaki rakyat Malaysia yang tular selepas bertindak merosakkan kunci tayar milik polis trafik di bandar ini dan melarikan diri, akhirnya menyerah diri kepada pihak berkuasa Thailand, semalam.

Suspek yang memandu sebuah Mercedes-Benz hadir ke Balai Polis Trafik Jalan Phet Kasem kira-kira pukul 9 pagi bersama seorang jurubahasa selepas beberapa hari diburu polis susulan kejadian pada 4 Mei lalu.

Jurucakap Polis Wilayah Songkhla berkata, lelaki terbabit dikenakan denda maksimum 3,000 baht (RM362) kerana meletakkan kenderaan di zon larangan di pusat bandar Hat Yai.

Katanya, suspek bakal berdepan pertuduhan jenayah kerana merosakkan harta kerajaan selepas didakwa memecahkan kunci tayar yang dipasang anggota polis trafik pada kenderaannya.

“Selepas kejadian dia kembali ke Malaysia. Namun dia menyerah diri dan mengaku perbuatannya. Hanya dia yang dibenar melintasi Pusat Pemeriksaan Kastam dan Imigresen Sadao. Keretanya telah disenaraihitamkan.

“Dia membayar denda dan mungkin menghadapi tuduhan jenayah kerana merosakkan harta kerajaan. Melalui seorang jurubahasa, dia mendakwa hanya melihat kertas saman diletakkan di cermin hadapan keretanya. Dia menyangka hanya perlu membayar saman tanpa menyedari tayar keretanya juga dikunci.

“Dia juga mendakwa hanya menyedari tayar keretanya dikunci dengan kabel apabila terdengar bunyi kuat ketika bergerak meninggal kawasan itu. Dia panik dan terus keluar dari Thailand melalui Sadao,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Jurucakap itu berkata, lelaki terbabit juga mendakwa dia tidak berniat merosakkan harta benda atau melarikan diri dan memohon maaf atas kejadian itu.

“Walaupun dia mendakwa tidak menyedari tayar keretanya dikunci, polis mempunyai bukti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) setiap tingkah lakunya di tempat kejadian.

“Lelaki itu menyerah setelah menyedari perbuatannya menjadi berita dan tular dalam media sosial di Thailand serta Malaysia. Ramai yang kecewa dengan perbuatannya,” ujarnya.

Sebelum ini, pihak berkuasa Thailand menyenarai hitam seorang rakyat Malaysia yang memandu kereta mewah jenis Mercedes-Benz selepas merosakkan kunci tayar milik polis trafik di sini, Isnin lalu daripada masuk ke negara ini.

Jurucakap Polis Wilayah Songkhla bagaimanapun berkata, pemandu dan kereta terbabit sudah melintasi sempadan Thailand-Malaysia, kira-kira sejam selepas kejadian. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×