PARIT: Pelajar institusi pengajian tinggi dikenal pasti antara kumpulan paling terdedah kepada sindiket penipuan dalam talian atau scammer apabila mencatatkan 61 kes di negeri ini dengan jumlah kerugian RM303,372.36 bagi tempoh Januari hingga April 2026.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, golongan pelajar IPT dilihat menjadi sasaran utama sindiket berikutan kecenderungan mereka mudah terpengaruh dengan tawaran yang kelihatan menarik serta sukar ditolak.
Menurut beliau, walaupun pelajar institusi pengajian tinggi sering dianggap lebih celik teknologi dan peka terhadap ancaman siber, hakikatnya mereka masih tidak terkecuali daripada menjadi mangsa penipuan yang semakin licik dan terancang.
“Antara modus operandi yang dikesan termasuk penipuan pekerjaan, tawaran biasiswa dan tajaan pendidikan palsu, penipuan berkaitan PTPTN serta pelbagai skim pelaburan tidak wujud yang menyasarkan golongan muda,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Peluncuran ‘Modul Trend Terkini Jenayah Komersil’ di Dewan Canselor, Universiti Teknologi Petronas (UTP), Seri Iskandar di sini hari ini.
Beliau berkata, sindiket penipuan juga tidak memilih mangsa berdasarkan status sosial atau latar belakang pendidikan, sebaliknya menyasarkan sesiapa sahaja yang dilihat mudah terpedaya.
“Bahkan terdapat kes melibatkan golongan profesional termasuk pensyarah, menunjukkan bahawa ancaman ini bersifat menyeluruh dan tidak mengenal kedudukan seseorang,” katanya.
Ujarnya, penipuan pelaburan mencatatkan nilai kerugian tertinggi iaitu RM134,429 dengan enam kes direkodkan.
“Kes penipuan e-dagang pula mencatatkan jumlah kes tertinggi dalam kalangan pelajar dengan 42 kes direkodkan melibatkan kerugian RM85,000.50,” katanya.
Beliau berkata, siasatan mendapati kebanyakan kes berpunca daripada penggunaan platform media sosial seperti Facebook dan TikTok yang menjadi medium utama sindiket untuk memperdaya mangsa.
“Orang ramai khususnya pelajar perlu lebih berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan tawaran yang tidak masuk akal atau terlalu menguntungkan,” katanya. – UTUSAN










