Pasukan Vanta daripada Jabatan Kejuruteraan Elektrik, German-Malaysian Institute (GMI) membuktikan inovasi pelajar mampu menawarkan penyelesaian praktikal terhadap isu sisa plastik apabila membangunkan mesin pintar yang boleh mengitar semula botol plastik kepada produk baharu secara lebih mudah, cepat dan efisien.
Inovasi dinamakan IoT-Enabled Autonomous Plastic Bottle Recycling & Injection System itu dibangunkan pasukan berkenaan sehingga meraih hadiah utama GREAT Innovation Challenge (GIC) anjuran Great Eastern Takaful Berhad (GETB) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Ketua Kumpulan Vanta, Muhammad Zahrul Ikhmal Ismail berkata, mesin itu dihasilkan bagi membuktikan proses menghasilkan produk baharu daripada sisa plastik tidak semestinya memerlukan mesin bersaiz besar.

Katanya, mesin berkenaan mengintegrasikan industrial controller dan embedded controller bagi membolehkan operasi dilakukan secara lebih pintar dan praktikal.
“Inovasi ini dibangunkan untuk menghasilkan mesin pintar yang mampu mengitar semula plastik secara terus menjadi produk baharu dengan lebih mudah, cepat dan efisien.
“Kami juga mahu menghapuskan stereotaip bahawa proses menghasilkan produk baharu daripada sisa plastik memerlukan mesin yang besar,” katanya kepada Utusan Pelajar.
Zahrul berkata, inovasi itu menyasarkan komuniti dan pelajar sekolah supaya mereka mempunyai akses kepada mesin kitar semula yang mudah alih, mudah digunakan dan sesuai diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
Menurutnya, penyelidikan mesin itu bermula pada fasa pertama pertandingan pada November 2025 sebelum proses pembinaan dimulakan pada Februari 2026.

Katanya, motivasi utama pasukan itu adalah untuk membantu menangani masalah sisa plastik yang semakin berleluasa, selain mendidik masyarakat bahawa kitar semula boleh dilakukan dengan mudah melalui penggunaan teknologi.
Mesin itu berjaya disiapkan pada awal Mei dalam tempoh ditetapkan penganjur GIC dan sudah boleh digunakan, namun masih memerlukan penambahbaikan dari aspek keselamatan serta kaedah penggunaan termasuk penyediaan manual pengguna.
“Langkah seterusnya adalah mengoptimumkan sistem perisian dan kecerdasan buatan (AI), selain menambah baik reka bentuk mesin supaya lebih kompak serta mudah digunakan,” katanya.
Sementara itu, penyelia pasukan, Dr. Nor Afandi Sharif berkata, pembangunan mesin itu mengambil masa kira-kira enam hingga tujuh bulan bermula daripada reka bentuk awal, lakaran, lukisan CAD, pendawaian elektrik, klasifikasi AI sehingga integrasi sistem dalam antara muka pengguna.
Menurutnya, cabaran utama pembangunan inovasi itu adalah mendapatkan klasifikasi AI yang tepat serta data lebih baik bagi memastikan sistem mampu mengenal pasti bahan plastik dan berfungsi dengan lebih berkesan.
“Inovasi ini bukan sesuatu yang bermusim, sebaliknya satu perjalanan jangka panjang kerana setiap kali berdepan komuniti atau masalah baharu, pelajar perlu bertanya apa langkah seterusnya.
“Di GMI, kita sentiasa menerapkan pemikiran melangkaui 10 hingga 20 tahun supaya sistem yang dibangunkan tidak statik, sebaliknya boleh berkembang mengikut keperluan semasa,” katanya.
Pasukan Vanta dianggotai Muhammad Zahrul Ikhmal Ismail, Pravin Muruga, Hazim Hakimi Ghazali, Faris Zulhilmi Mohd. Rizal dan Muhammad Ilyasa Aniq Mohd. Meirza, dengan bimbingan penyelia Dr. Nor Afandi Sharif serta Masni Mohd. Yusuf. –UTUSAN









