KUALA LUMPUR: Ancaman keselamatan negara kini tidak lagi tertumpu kepada jenayah konvensional semata-mata, sebaliknya berkembang kepada jenayah siber yang semakin kompleks, penipuan kewangan digital dan kegiatan sindiket terancang.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, perkembangan ancaman tersebut mencabar kedaulatan negara selain menuntut perubahan segera dalam pendekatan kepolisan moden melalui integrasi teknologi serta perkongsian maklumat yang lebih holistik.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan agensi penguatkuasaan sentiasa selangkah di hadapan dalam mendepani ancaman keselamatan yang semakin dinamik.
“Ancaman keselamatan tidak lagi terhad kepada jenayah konvensional. Kita kini berhadapan dengan evolusi jenayah siber yang kompleks, penipuan kewangan digital yang memangsakan rakyat, serta aktiviti sindiket terancang yang mencabar kedaulatan negara.
“Justeru, paradigma kepolisan moden harus segera berganjak ke arah integrasi teknologi dan perkongsian maklumat yang lebih holistik bagi memastikan kita sentiasa selangkah di hadapan,” katanya ketika berucap semasa Majlis Peluncuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) Special Dialogue di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini hari ini.
Menurutnya, sepanjang dua hari penganjuran program terbabit, sebanyak 31 sesi melibatkan forum, bengkel teknikal dan pameran dianjurkan bagi mengetengahkan pelbagai solusi untuk mendepani isu keselamatan maritim, narkotik serta inovasi penguatkuasaan.
Jelasnya, penyertaan lebih 3,000 peserta termasuk 200 delegasi kenamaan (VIP) dan kehadiran 135 syarikat tempatan serta antarabangsa membuktikan penganjuran PDRM Special Dialogue merupakan platform strategik dalam memacu kolaborasi operasi dan pembangunan dasar keselamatan di peringkat serantau.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, program dialog keselamatan itu menjadi antara usaha penting untuk memperkukuhkan mutu perkhidmatan dan keupayaan siasatan pasukan polis.
Menurutnya, penglibatan kali ini turut melibatkan pelbagai jabatan dalam PDRM bagi memastikan kerjasama lebih menyeluruh dapat dilaksanakan dalam menangani isu keselamatan.
“Hari ini merupakan penganjuran special dialogue yang kelima dan kita rasa ini satu usaha pihak polis untuk mempertingkatkan perkhidmatan serta corak siasatan.
“Sebelum ini mungkin banyak dilakukan secara bersendirian, namun tahun ini kita libatkan pelbagai jabatan termasuk trafik, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan jabatan berkepentingan lain supaya segala siasatan berkaitan isu keselamatan dapat disinergikan secara menyeluruh,” katanya.- UTUSAN










