PETALING JAYA: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara disaran mempertimbangkan pengurangan kadar sewaan premis perniagaan, gerai dan medan selera di bawah seliaan masing-masing sehingga penghujung tahun ini bagi membantu meringankan beban peniaga kecil.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, langkah itu merupakan usaha proaktif Kerajaan Madani dalam memelihara kebajikan rakyat khususnya komuniti penjaja dan peniaga kecil yang kini berdepan peningkatan kos operasi.
Katanya, langkah tersebut bertujuan mengurangkan beban kos operasi yang ditanggung penjaja dan peniaga kecil tempatan, selain merangsang pertumbuhan ekonomi di peringkat akar umbi.
“Langkah strategik ini bertujuan meringankan beban kos operasi ditanggung penjaja dan peniaga kecil tempatan sekali gus memangkin pertumbuhan ekonomi pada peringkat akar umbi.
“Inisiatif ini juga berupaya membantu memastikan kesinambungan operasi perniagaan, mengekalkan peluang pekerjaan serta memperkukuh daya tahan ekonomi komuniti setempat.
“Dengan memberikan pengurangan sewa ini, kita bukan sahaja membantu kelangsungan hidup peniaga kecil, malah turut membantu memastikan kestabilan harga barangan dan perkhidmatan untuk pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kor Ming berkata, cadangan yang dikemukakan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) supaya PBT membantu peniaga yang menyewa di premis atau kedai di bawah seliaan mereka menerusi pemberian insentif adalah wajar sebagai langkah segera membantu rakyat.
Sehubungan itu, katanya, kementerian akan bekerjasama rapat dengan semua PBT di seluruh negara bagi meneliti kaedah pelaksanaan yang bersesuaian mengikut kemampuan kewangan serta keperluan setempat.
“Usaha ini penting bagi memastikan kesejahteraan rakyat serta kelangsungan ekosistem ekonomi bandar terus diperkukuh.
“Kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Madani. Kita mahu memastikan tiada golongan tercicir daripada arus pembangunan negara dan terus menikmati manfaat pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Tambah beliau, inisiatif pengurangan sewaan itu akan melengkapi pelbagai usaha berterusan kerajaan dalam membantu rakyat dan komuniti peniaga kecil.
“Ia termasuk program bantuan keusahawanan, penyediaan kemudahan perniagaan lebih kondusif, penaiktarafan medan selera dan pasar awam serta pelaksanaan inisiatif seperti MyKiosk,” katanya.
Sebelum ini, MTEN menggesa PBT dan kerajaan negeri di seluruh negara mengurangkan kadar sewa premis atau kedai di bawah seliaan masing-masing berkuat kuasa serta-merta.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir dilaporkan berkata, langkah tersebut penting bagi membolehkan peniaga kecil, pengusaha pasar malam dan usahawan mikro terus bertahan susulan peningkatan kos operasi yang kini secara purata mencecah antara tujuh hingga 58 peratus daripada keseluruhan kos perniagaan mereka. – UTUSAN










