PETALING JAYA: Jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Penghapusan Diskriminasi Kaum (CERD) menggesa Israel segera memansuhkan undang-undang membenarkan hukuman mati terhadap tahanan Palestin.
CERD turut menggesa Israel menghentikan semua bentuk diskriminasi terhadap rakyat Palestin dan memastikan tahanan Palestin menikmati hak penuh termasuk perbicaraan adil serta perlindungan daripada layanan kejam atau penyeksaan.
Menurut kenyataan Kementerian Luar Palestin dan Ekspatriat Palestin, kenyataan yang dikeluarkan pada akhir sesi ke-117 CERD, mencerminkan kebimbangan masyarakat antarabangsa terhadap undang-undang yang diluluskan Knesset pada 30 Mac lalu.
Katanya, undang-undang berkenaan disifatkan melanggar hak asasi manusia serta undang-undang kemanusiaan antarabangsa, selain didakwa secara khusus menyasarkan rakyat Palestin dan mengukuhkan sistem diskriminasi dalam pentadbiran keadilan Israel.
“Pelaksanaan hukuman mati tanpa jaminan perbicaraan adil serta di bawah sistem mahkamah tentera merupakan pelanggaran nyata terhadap hak untuk hidup seperti diperuntukkan dalam undang-undang antarabangsa,” katanya dalam kenyataan berkenaan.
Dalam pada itu, Palestin menyeru masyarakat antarabangsa melaksanakan tanggungjawab undang-undang dan moral mereka dengan mengambil langkah konkrit bagi memastikan Israel dipertanggungjawabkan serta tidak terus menyokong atau mengekalkan sistem diskriminasi tersebut.
“Palestin akan terus memperkukuh usaha diplomatik di semua peringkat antarabangsa termasuk melalui mekanisme PBB dan mahkamah antarabangsa bagi melindungi hak rakyat Palestin serta menegakkan keadilan selaras dengan undang-undang antarabangsa,” katanya.-UTUSAN









