Wanita maut, kekasih cedera kereta terbabas rempuh bas

Wanita maut, kekasih cedera kereta terbabas rempuh bas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang wanita maut, manakala kekasihnya cedera selepas kereta dinaiki mereka hilang kawalan lalu merempuh belakang sebuah bas dalam kejadian di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MMR2).

Kejadian berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi dari arah Batu Caves menghala ke Kepong berhampiran Taman Layang-Layang.

Wanita terbabit yang juga penumpang kereta Proton Persona dipandu kekasihnya berusia 31 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian dada.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan.

“Kereta berkenaan kemudian melanggar bahagian belakang sebuah bas jenis Hino milik sebuah sekolah antarabangsa yang diletakkan di tepi jalan tanpa papan tanda amaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemandu kereta cedera di kepala dan kini menerima rawatan di Hospital Selayang.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat, manakala sampel darah pemandu turut diambil bagi ujian toksikologi.

“Punca kemalangan masih dalam siasatan, namun dipercayai akibat pemandu gagal mengawal kenderaan disyaki kerana mengantuk,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN