NILAI: Akademi Seni Media Islam (ASMI) menjadi platform melahirkan generasi baharu pempengaruh dakwah digital yang mampu menguasai algoritma media sosial bagi menyebarkan kandungan Islam secara lebih segar, beretika dan berkesan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, media Islam tidak boleh lagi sekadar berfungsi sebagai alternatif, sebaliknya perlu tampil sebagai rujukan utama membawa naratif kebenaran, keadilan dan kesejahteraan.
Katanya, cabaran lambakan maklumat di media sosial hari ini sering mengaburkan garis pemisah antara perkara benar dan batil, sekali gus menuntut media Islam memainkan peranan lebih kritikal.
“Kita perlu melahirkan lebih ramai pempengaruh dakwah digital yang mahir menggunakan algoritma media sosial untuk menyebarkan kebaikan.
“Kita tidak mahu dakwah kita kelihatan ketinggalan zaman, sebaliknya kita mahu ia tampil segar dan relevan dengan gaya hidup moden tanpa menggadaikan syariat,” katanya ketika merasmikan Buku Modul dan Kursus Akademi Seni Media Islam (ASMI) di sini hari ini.
Turut hadir, Pro-Canselor USIM, Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz.
Program anjuran TV AlHijrah dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu menghimpunkan 100 peserta terdiri daripada wakil universiti, industri media dan agensi berkaitan.
Zulkifli berkata, platform seperti TikTok, YouTube dan Instagram kini menjadi medan dakwah baharu yang sangat berpengaruh terutama dalam kalangan Gen Z.
“Jika ruang digital itu tidak dipenuhi dengan kandungan bermutu, ia akan diisi oleh kandungan yang boleh merosakkan generasi muda,” katanya.
Beliau berkata, ASMI turut memberi penekanan terhadap penerbitan kandungan Islam yang memenuhi piawaian semasa kerana penonton hari ini semakin sofistikated dan menuntut visual menarik, suntingan kemas serta penceritaan yang kuat.
“Aspek etika dan perundangan komunikasi juga diberi perhatian, khususnya dalam menghadapi cabaran fitnah digital masa kini.
“Prinsip tabayyun menjadi kewajipan dalam memastikan kesahihan sesuatu maklumat sebelum disebarkan,” katanya.
Zulkifli berkata, modul itu merangkumi aspek penting dalam penyiaran Islam termasuk prinsip komunikasi Rasulullah SAW seperti Qaulan Sadida, Qaulan Baligha dan Qaulan Layyina yang menekankan kebenaran, kesan mendalam dan kelembutan dalam penyampaian.
Katanya, modul berkenaan turut memberi penekanan kepada pengurusan penyiaran Islam yang menuntut keseimbangan antara keperluan komersial dan tanggungjawab dakwah berpandukan Maqasid Syariah.
“ASMI mempunyai potensi besar untuk menjadi pusat kecemerlangan penyiaran Islam di rantau ini.
“ASMI merangkumi beberapa modul utama termasuk Komunikasi dan Dakwah Dalam Media Massa, Pengurusan Media Islam, Penerbitan Kandungan Media Islam, Strategi Penyampaian Dakwah Untuk Pelbagai Golongan serta Krisis Media,” katanya.-UTUSAN










