Pasukan peninjau tulang belakang operasi Mina

Pasukan peninjau tulang belakang operasi Mina

DR. Amir Suhaimi (kiri) bersama pasukan peninjau perubatan haji melakukan persiapan sebelum ke laluan melontar jamrah di Mina.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Dalam kepadatan jutaan manusia yang memenuhi bumi Mina sepanjang musim haji, kewujudan pasukan ronda perubatan Tabung Haji (TH) menjadi antara elemen paling penting memastikan keselamatan jemaah Malaysia terpelihara.

Walaupun bergerak di sebalik kesibukan lautan manusia, pasukan yang dianggotai 30 petugas itu dianggap sebagai tulang belakang operasi perubatan di Mina kerana sentiasa bersiap siaga membantu jemaah memerlukan rawatan kecemasan.

Timbalan Ketua Peronda Perubatan Haji, Dr. Amir Suhaimi berkata, semua anggota dibahagi kepada lapan kumpulan dan bergerak secara berkala setiap satu jam bagi memantau keada­an jemaah di sekitar Mina termasuk laluan melontar jamrah.

Menurutnya, setiap anggota telah menjalani latihan termasuk kemahiran bantuan asas kecemasan bagi membolehkan rawatan awal diberikan terus di lokasi kejadian.

“Kita akan bergerak secara berkumpulan dan membuat rondaan secara interval setiap satu jam. Jika ada kecemasan, kita akan terus beri bantuan awal di lokasi.

“Kalau kes itu ringan, rawatan akan diberi di tempat kejadian sahaja dan jemaah boleh terus pulang ke penginapan masing-masing,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Dr. Amir berkata, antara kes ringan yang sering diterima pasukan ronda perubatan ialah jemaah terseliuh, terjatuh sehingga mengalami luka kecil selain sakit pinggang akibat terlalu lama berjalan dan berdiri.

Katanya, semua kes berke­naan diberikan rawatan segera di lokasi tanpa perlu dirujuk ke pusat rawatan lain.

“Semalam ada juga kes yang agak berat sedikit, namun tiada yang terlalu kritikal dan kita masih dapat mengawalnya dengan baik,” ujarnya.

Beliau berkata, bagi kes lebih kritikal, pasukan berkenaan akan membuat penilaian segera sebelum memutuskan sama ada jemaah perlu dirujuk ke klinik kecemasan atau hospital.

Katanya, cabaran utama operasi ronda perubatan di Mina ialah kesesakan jutaan jemaah yang gunakan laluan sama terutama ketika waktu puncak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×