Passport Malaysia baharu boleh mula dimohon 1 Jun ini, dilengkapi 94 ciri keselamatan

Passport Malaysia baharu boleh mula dimohon 1 Jun ini, dilengkapi 94 ciri keselamatan

ZAKARIA SHAABAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) berwajah baharu yang dilengkapi dengan 94 ciri keselamatan akan mula dikeluarkan secara berperingkat mulai 1 Jun ini.

Lebih menarik, PMA itu menampilkan ciri keselamatan lebih canggih termasuk dilengkapi hologram, cetakan ultraviolet (UV), elemen visual tersembunyi dan ciri forensik khas yang sukar ditiru tanpa penggunaan teknologi dan mesin berkapasiti tinggi.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, penambahbaikan ciri keselamatan ketara itu bertujuan mengelakkan pemalsuan dokumen.

Beliau berkata, setiap helaian pasport mempunyai ciri keselamatan tersendiri dan berbeza antara satu sama lain walaupun corak luarannya kelihatan sama.

“Malah benang jahitan pada buku pasport juga mempunyai elemen keselamatan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Jabatan Imigresen Malaysia Tahun 2025 di sini, hari ini.

Beliau berkata, buat permulaan, pelaksanaan pengeluaran pasport baharu itu akan dimulakan di empat pejabat pasport terpilih iaitu di Pejabat Pasport Putrajaya, Pejabat Pasport Jalan Duta, Pusat Transformasi Bandar (UTC) Wangsa Maju dan Pejabat Pasport Imigresen Shah Alam.

“Pengeluaran di pejabat lain akan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka diperluaskan ke seluruh negara menjelang penghujung Julai ini.

“Kami ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak perlu tergesa-gesa menukar pasport masing-masing sekiranya dokumen perjalanan sedia ada masih mempunyai tempoh sah laku melebihi enam bulan.

“Pasport lama masih sah digunakan dan masih boleh digunakan untuk perjalanan ke luar negara. Orang ramai tidak perlu berebut-rebut datang ke pejabat imigresen semata-mata mahu mendapatkan pasport baharu,” katanya.

Katanya, tindakan orang ramai berpusu-pusu menukar pasport secara serentak boleh memberi tekanan terhadap kapasiti operasi di pejabat imigresen seluruh negara.

Zakaria berkata, JIM akan terus mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) permohonan pasport sedia ada termasuk permohonan secara dalam talian.

Bagaimanapun, katanya, beliau menasihatkan pemohon supaya tidak menggunakan gambar yang diubah suai menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) ketika membuat permohonan pasport secara online.

“Kita telah mengesan beberapa kes penggunaan gambar AI bagi mencantikkan wajah pemohon.

“Pegawai kita boleh mengesan perkara itu ketika proses semakan dan pengambilan pasport,” katanya.

Tambah beliau, penggunaan MyDigital ID bagi urusan pasport masih dalam fasa pelaksanaan secara berperingkat sementara menunggu Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) siap sepenuhnya bagi membolehkan integrasi digital dilaksanakan secara menyeluruh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN