PARIT BUNTAR: Kerajaan negeri hari ini melancarkan Pasar Sejahtera Rakyat Perak di sini sebagai satu inisiatif bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pasar tersebut diperkenalkan untuk membantu rakyat akibat impak krisis tenaga global yang turut memberi tekanan kepada kos sara hidup rakyat.
Menurutnya, inisiatif itu melibatkan penjualan barangan kering dan basah dengan harga sekurang-kurangnya lima peratus lebih rendah berbanding pasaran setempat, dan dilaksanakan di bawah Fasa 1 Langkah Mitigasi Impak Krisis Asia Barat Negeri Perak bagi tempoh April hingga Jun 2026.
“Bagi tahun 2026, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM3.7 juta untuk pelaksanaan Pasar Sejahtera Rakyat Perak di seluruh negeri melalui pendekatan bersepadu yang melibatkan pelbagai bentuk jualan bersubsidi.
“Peruntukan ini merangkumi RM2.0 juta bagi Pasar Sejahtera Rakyat Perak yang dilaksanakan melalui Pejabat Daerah dan Tanah di semua daerah dengan kekerapan berkala setiap bulan, RM1.2 juta bagi Jualan Sejahtera Rakyat yang dilaksanakan di kesemua 59 kawasan Dewan Negeri.
“Program ini dilaksanakan oleh Yayasan Bina Upaya bersama Perak SADC, RM0.4 juta bagi Jualan Sejahtera Rahmah melalui Program Jelajah Sejahtera Desaku di kawasan luar bandar terpilih, serta RM0.1 juta bagi Jualan Koperasi Perak Sejahtera di beberapa kawasan dengan penglibatan koperasi tempatan dan sasaran manfaat kepada lebih 1,000 keluarga.
“Pelaksanaan program ini diselaraskan melalui Pejabat Daerah dan Tanah serta diperluas ke kesemua kawasan Dewan Negeri bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan (HBP) Siri Ketiga Tahun 2026 yang diadakan di Kompleks Pentadbiran Daerah Kerian di sini hari ini.
Sementara itu, Saarani berkata, penganjuran Program MESRA HBP di sini terus menjadi platform penting bagi Kerajaan Negeri mendekati rakyat serta menyelesaikan isu secara langsung.
Beliau berkata, program HBP kali ini melibatkan 77 kaunter khidmat pelanggan daripada pelbagai jabatan dan agensi Kerajaan Negeri, termasuk lima kaunter bergerak bagi memperluas capaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Bagi siri ketiga ini, sejumlah 140 aduan baharu telah direkodkan melibatkan pelbagai isu rakyat. Secara keseluruhan, sebanyak 460 aduan telah diterima setakat ini, dengan 388 aduan 84 peratus berjaya diselesaikan, manakala baki 72 aduan (16 peratus) sedang dalam tindakan lanjut oleh pihak berkaitan,” katanya.
Beliau turut menyaksikan Sesi Penyerahan Kunci Bangunan Kompleks Pentadbiran Daerah Kerian yang menandakan satu lagi pencapaian dalam usaha memperkukuh infrastruktur pentadbiran negeri.
Kompleks tersebut berfungsi sebagai pusat sehenti pentadbiran yang moden dan efisien, sekali gus meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan agar lebih responsif dan berfokuskan rakyat. – UTUSAN









