Rindunya aku. Ya rindu yang amat pada tanah dan jazirah itu. Pada kenangan yang tidak pernah sirna. Pada semua paparan yang tidak pernah luput dari layar retina. Segalanya akan berulang kini. Perjalanan yang bakal menghujungkan nostalgia ini.
Tatkala kaki menjejakkan tumitku ke terminal, terasa hilang segala kerinduan itu. Alangkah dinginnya semilir Medina meskipun dibalut cahaya yang memanaskan suasana. Itulah anehnya di lahan ini. Panas tapi dingin.
Allahuakbar. Aku menekuni monumen silam yang masih lekat dalam ingatan. Namun banyak juga tidak kutemui. Ada yang dahulu wujud kini telah lenyap dari pandangan. Beberapa deretan bazar jualan tradisional juga telah tidak kelihatan. Sudah banyak bangunan batu dan tinggi terbina. Menghilangkan sedikit memoriku.
Masjid Nabawi semakin gah dengan tambahan payung gergasi di dataran luar. Mutawif yang membawa delegasi duyufur rahman kami memberi penerangan. Hampir seminggu aku di sini, masih terasa asing pula. Itinerari padat terpaksa kami lalui kerana limpahan umat kian membesar.
Sengaja aku memilih untuk ke Madinah terlebih dahulu untuk menyesuaikan diri dengan hawa dan iklim di sini. Delegasi kami memilih untuk menunaikan haji tamattuk iaitu menunaikan umrah dan bertahalul terlebih dahulu sebelum melaksanakan haji.
Eh, apa pulalah ‘Nusuk’ ini? Aku bergumam dengan istilah baharu yang mutawif umumkan dalam taklimatnya. Dulu tidak ada pun buat macam ini. Boleh saja lepas ke taman-taman syurga itu. Walaupun tubuh kami pendek dan kenit macam kebanyakan spesies populasi Nusantara, tapi boleh juga mencelah. Kekadang bawah ketiak algojo dari Turkiye atau Afrika masih juga aku boleh lepas. Aku memprotes senyap.
Lebih rinci, dari Malaysia lagi sudah dimestikan install aplikasi entah apa-apa ini. Iyalah, aku bukan generasi Y atau Z yang jinak digital, mana betah hendak isi macam-macam. Aku masih ingat lagi kerana kerencaman perisian macam inilah menyebabkan aku bersara awal. Malah ramai lagi berderet senarai panjang penjawat yang mahu menamatkan perkhidmatan.
Aku kira sudah lepas berkhidmat dengan kerajaan, tidak berdepan dengan kerenah begini. Rupanya anggapan itu salah. Sekarang bukan di jabatan, sekolah atau IPT sahaja gunakan pelbagai aplikasi, bahkan hampir di semua urusan hidup. Wang tunai hampir tidak laku sudah di beberapa premis perniagaan dan perkhidmatan. Siap tulis lagi ‘tanpa tunai’.Huh, makin pelik dunia ini!
‘Semua jemaah kena ‘download’ ya apps ‘Nusuk’ ini, haji, hajah.’ Pesan Hajah Nila, mutawifah kumpulan kami seusai semua dibawa masuk ke dalam grup WhatsApp. Aku buat-buat senyap mulanya. Namun apabila dimaklumkan bahawa ini adalah kaedah terkini untuk membolehkan duyufur rahman memasuki ruang Raudah, aku mula gelabah.
“Kalau tak isi ini tak boleh masuk Raudah ke hajah?” Salah satu soalan daripada jemaah yang sama buta digital macam aku agaknya, tertera di paparan telefon. Aku pun hendak tanya benda yang sama juga mulanya. Tapi rasa macam bodoh sangat soalan itu. Jadi, aku simpan soalan tersebut. Kebetulan ada hamba Allah yang tanya. Terlepaslah kebodohanku.
“Ya haji dan hajah. Sekarang memang kena guna ‘Nusuk’ untuk mendapatkan masa dan giliran ke Raudah. Kalau dahulu ikut sistem muassasah, pihak Arab Saudi yang tentukan mengikut zon. Kadang ada yang dapat masuk, ada yang tidak. Kaum wanita memang susahlah masa itu. Jadi dengan adanya sistem ‘Nusuk’ ini semua berpeluang.”
Rajin pula Hajah Nila menerangkan. Tapi bagus juga, dengan sekali respons, kami semua faham. Aku angguk-angguk tanpa ikhlas. Lebih sedekad lepas tak ada pun sistem ini. Boleh saja aku lepas dengan usaha sendiri.
***
Ketika haji pertama dahulu, aku cuba masuk selepas waktu Asar. Orang tidaklah terlalu ramai mulanya ketika memasuki babus salam. Aku menyertai gerombolan jemaah dari pelbagai negara bersedia untuk merempuh halangan dibuat oleh petugas. Ketika itu, kudrat dan tenaga jantan menjadi taruhan. Siapa yang perkasa dapatlah masuk ke dalam barisan hadapan.
Semakin mendekat ke laluan makam Rasulullah SAW, keadaan menjadi semakin sendat. Aku tahu, tubuh kecil. Tidak guna hendak beradu kuat dengan badang dari negara Eropah dan Arab, memang kalahlah. Jadi aku gunakan kecerdikan akal. Aku masuk bersembunyi ke celah-celah antara jemaah yang tinggi-tinggi itu. Hingga ada ketikanya aku mencelah di bawah ketiak mereka! Tak kisahlah asal dapat lolos ke hadapan.
Cubaan pertama, aku gagal masuk ke ruang Raudah. Hanya sempat solat dua rakaat, itu pun dalam keadaan tidak tenang kerana terjahan jemaah lain. Ada lutut yang menyinggahi jemala ketika sujud. Selang betapa minit pula kena hambat petugas Masjid Nabawi yang sangat akur dengan tugasnya.
Aku ingat lepas itu, cubaan kedua usai Subuh. Kata rakan jemaah yang pernah ke sana, masa itu agak lengang kerana masing-masing mahu mencari sarapan. Aku akur dengan andaian tersebut. Lalu misi kedua aku tempuhi dengan trek yang hampir sama.
Namun kali ini aku terpaksa menyusup melalui kain rentang yang dibina sebagai penghalang jemaah sementara menunggu giliran kelompok lain usai menziarahi raudah.
“Derah nusuk dale nu!” Rakan sekamar dari Kelantan mengarahkan apabila seorang petugas tahu strategi kami. Aku segera menyusup di bawah kain rentang tersebut. Aku terjatuh, namun berjaya juga lepas ke dalam. Tiba-tiba aku rasa sengal di belakang. Rupanya ketika berkeras masuk tadi, aku dihempap oleh sebeban tubuh manusia yang entah dari mana! Aku gagal juga mendapat tempat di saf hadapan Raudah. Keindahan dan ketenangan yang kubayangkan punah kerana gangguan jemaah lain. Mereka bukan macam orang kita yang menyantuni jemaah apa lagi ketika bersolat. Mereka main redah sahaja, kita tengah solat pun dilanggar. Melintas lalu depan kita qiam itu, mainan saja!
Akhirnya, aku akur dengan arahan mutawif masa itu untuk mengikut giliran yang ditetapkan oleh pihak pengurusan muasasah. Sebenarnya ada masa yang ditetapkan untuk jemaah dari Asia terutamanya Malaysia untuk menziarahi Raudah. Baharulah semua sama taraf – rendang dan renek-renek sahaja. Tolak-menolak pun tidaklah seganas sebelum ini.
Ketika itu, dapatlah aku solat dengan tenang sedikit.Bagaimanapun tidaklah dapat sampai betul-betul di lokasi yang dikehendaki. Cuma sekurang-kurangnya kami tidaklah terlalu berasak-asak dan menyelinap melalui jalan salah sampai ke Raudah.
Itu dulu, hampir dua dekad. Memburu untuk menziarahi Raudah memang menjadi target utama ketika beriktikaf di Masjid Nabawi. Salah satu taman-taman syurga yang Allah khususkan di dunia ini. Aku rasa ok sahaja kaedah tersebut. Kita bebas mencari ruang dan peluang untuk menziarahinya, bila-bila sahaja kita boleh mencuba nasib. Biarpun dua kali cubaan solo nampaknya gagal, tetapi tidaklah perlu isi apa-apa aplikasi atau borang masuk pun!
Yang jadi masalah sekarang, aku tidak mahir gunakan aplikasi ‘Nusuk’ ini. Orang Kelantan bilang ‘nusuk’ juga ketika kami menyelinap masuk melalui kain rentang halangan dahulu. Memang kita kena nusuk untuk masuk ke dalam, tapi tidaklah perlu aplikasi. Jadi aplikasi ‘Nusuk’ ini diambil daripada situasi jemaah hendak nusuk masuk Raudah ke? Begitu? Oh, hebat juga bahasa Kelantan! Aku tanya sendiri dan cuba jawab sendiri. Bezanya nusuk dulu kita adu kudrat, masuk secara sembunyi, siapa kuat boleh masuk. ‘Nusuk’ sekarang minta kita isi data diri dan masuk ikut masa dan tarikh yang ditetapkan, tidak perlu beradu kuat, semua ikut giliran dan ada peluang.
Iye ke? Setahu aku dalam hal ini orang sudah tidak boleh dikawal. Masing-masing mahu lepaskan diri dan mencapai hasrat masing-masing. Memang ada pegawai dan tentera yang menjadi penghalang, tetapi apabila keadaan sudah memuncak, semua redah sahaja.
‘Baik, kalau semua sudah muat turun, tunggu saya bagi tahu bila masa dan tarikh yang ditetapkan untuk jemaah kita.’ WhatsApp daripada mutawifah. Aku lega sebab anak sudah bereskan. Semua minta dia tolong buat, tidaklah aku sakit kepala.
Tepat masa seperti dijanjikan aku tiba bersama seorang jemaah di lokasi, namun tiada siapa di situ. Mana yang lain? Galau menguasai, sudahlah jemaah kian melimpah. Setelah lama menunggu, kami nekad meneruskan misi tanpa mutawif. Subuh Jumaat yang hening, berasak-asak menuju laluan untuk ke Raudah.
Namun hanya yang ada janji temu menggunakan aplikasi ‘Nusuk’ dibenarkan masuk oleh pengawal yang bekeng. Aku terkial-kial menunjukkan telefon bimbit. Aduh, susah pula nak buka! Dalam gelabah begitu, dapat juga aku tunjukkan informasi janji temu janji. Lega.
Pergerakan delegasi agak lambat tapi teratur. Detik hati meresah. Bimbang jika azan berkumandang nescaya kami akan bersolat di luar dataran. Rasa cuak dan risau sembari geram juga kerana mutawif tiada bersama di tempat dijanjikan. Aku lihat jam di tangan, aduh, jamku mati rupanya! Rakanku yang seorang tadi pun entah hilang ke mana. Aku cuba bertenang. Sekurang-kurangnya aku sudah ada pengalaman menunaikan manasik ini.
Hampir 20 minit di luar pintu 37, akhirnya aku berjaya masuk ke ruang Raudah. Alangkah rindunya pada ujana itu. Syahdu dan tenang sekali. Jemaah bersusun masuk dan sempat menunaikan beberapa rakaat solat sunat.
Spontan air mata menggelupur turun apabila melihat aura di situ.
“Allahuakbar, Allahuakbar!” suara muazin memecah kesunyian. Semua pergerakan jemaah terhenti. Aku sedang bersemayam di ruang terindah. Ya, Allah! Apakah ini? Aku dapat bersolat subuh di ruang Raudah! Tidak pernah kujangka pada pagi Jumaat yang barkah, solat di taman jannah. Alhamdulillah!
Niagara air mata tiada henti menerjuni laman pipi renta. Apatah lagi ketika imam memulakan solat dengan sujud sejadah seperti lazimnya. Ini kali pertama dapat solat berjemaah di sini. Terasa nyali euforia menyelinap lunak ke ruang katarsis. Aku larut dalam sebatian ubudiah.
Pasca solat, seorang pekerja mendekat, seakan memberi penerangan. Walaupun tidak memahami tuturnya, namun aku raikan. Alangkah terujanya apabila beliau membawa mendekati mihrab tempat imam mengetuai solat kami tadi. Aku berjeda seketika di mimbar tempat Nabi SAW pernah berkhutbah. Inilah hati Raudah – antara mimbar dan makam Rasulullah. Aku dibenarkan solat dua rakaat di situ. Allahuakbar!
Aku seakan berlibur di lelangon kayangan. Besarnya nikmati-Mu kali ini ya Allah. Tidak pernah kuduga, walaupun impian itu sentiasa menggunung untuk mendekat ke sini. Namun kerana tubuh yang renek selalu tidak terlawan jika mahu beradu kekuatan. Tapi pemusafiran kali ini, seakan amat dimudahkan.
Lama juga kumpulan kami dibenarkan beriktikaf di taman syurga sebelum digilir dengan kumpulan lain. Kutitipkan juga seutas senyuman rial kepada petugas yang membantu mengecap memori paling indah.
***
“Alhamdulillah, semua dapat menziarahi Raudah, kan?” Hajah Nila membuat parafrasa kepada jemaah. Ya, muslimah yang paling lega kerana dengan ‘Nusuk’ dapat masuk ke Raudah dengan lebih tenang. Aku renung mukanya dan wajah mutawif lelaki di sisinya. Rasa geram ditinggalkan semalam aku simpan dan buang. Nyata bukan salah mereka.
“Selalu kita baca dalam doa iftitah ‘innasolati wa nusuki wa mahyaya wa mamati.. ‘ dan seterusnya. Ha, ‘Nusuk’ itulah yang memberi kemudahan kepada kita,” sambungnya lagi.
Beberapa jemaah angguk-angguk kerana doa awal solat itu memang arif dilazimi. Dan aku menjadi terlebih angguk kerana baru menikmati hikmat ‘Nusuk’ itu. Aku membuka aplikasi kamus bahasa Arab pada telefonku.
Aku angguk lagi tanda puas hati. Lusa, kami akan bertolak ke Mekah menyambung ibadah. Tidak sabar rasanya mahu melihat Baitullah. Meninggalkan Madinah bermakna ‘nusuk’ juga akan aku tinggalkan.-UTUSAN









