NSM: Norway mohon maaf, namun pembatalan jejas hubungan baik Malaysia-Norway - Utusan Malaysia

NSM: Norway mohon maaf, namun pembatalan jejas hubungan baik Malaysia-Norway

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia menyifatkan tindakan pembatalan perolehan misil anti kapal (NSM) buatan Norway tidak mencerminkan hubungan baik antara kedua-dua negara yang terjalin sejak sekian lama.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, walaupun permohonan maaf telah dibuat Norway dalam pertemuannya sebelum ini, tindakan pembatalan tersebut diumumkan lewat iaitu selepas hampir 10 tahun kontrak pembelian ditandatangani.

Selain itu katanya, Malaysia kesal tindakan pembatalan misil berkeupayaan terbang rendah di atas permukaan laut (sea skimming) itu dilaksanakan secara unilateral tanpa sebarang rundingan.

“Malaysia telah menandatangani kontrak perolehan berkenaan pada tahun 2018 dan penghantaran misil tersebut sepatutnya dilaksanakan tahun ini, namun hanya dimaklumkan mengenai pembatalan lesen eksport pada April lalu.

“Keputusan ini bukan sahaja dibuat secara unilateral, malah tidak disusuli dengan usaha yang sewajarnya untuk membantu Malaysia mendapatkan semula wang yang telah dibayar. Keadaan ini tidak mencerminkan layanan yang sepatutnya diberikan antara dua negara yang mempunyai hubungan persahabatan yang lama dan baik,” katanya dalam Shangri-La Dialogue 2026, Singapura semalam.

Kementerian Luar Norway dilaporkan menarik balik beberapa lesen eksport berkaitan teknologi tertentu sebagai sebahagian daripada usaha memperketat kawalan eksport negara itu.

NSM yang dibangunkan syarikat Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA) merupakan peluru berpandu antikapal berkeupayaan melaksanakan serangan maritim jarak jauh pada kelajuan subsonik tinggi dengan capaian melebihi 300 kilometer, adalah sebahagian daripada kontrak perolehan yang dimeterai antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA) pada April 2018, bernilai 124 juta euro ($184.91 juta), bertujuan melengkapi enam kapal LCS baharu.

Dalam pada itu Mohamed Khaled berkata, Malaysia masih menganggap Norway sebagai sebuah negara sahabat sekiranya kerajaan negara itu menunjukkan komitmen yang jelas dan bersungguh-sungguh dalam membantu mendapatkan semula wang yang telah dibayar kepada syarikat pengeluar.

Beliau berkata, kerajaan Norway sepatutnya memainkan peranan lebih aktif bagi memastikan hak Malaysia sebagai pelanggan yang terjejas akibat keputusan pembatalan lesen eksport tersebut terus terbela.

“Apa yang berlaku akan menjadi satu kecacatan kekal dalam hubungan dua hala dan juga pengajaran kepada Malaysia untuk lebih berhati-hati dalam menilai negara-negara yang benar-benar ikhlas dan tulen sebagai rakan serta sahabat strategik,” ujarnya.

Katanya lagi, Malaysia setakat ini akan mengemukakan tuntutan undang-undang terhadap syarikat yang terlibat.

Menurutnya, sekiranya Norway benar-benar mahu memelihara hubungan baik dan mengekalkan persahabatan dengan Malaysia, langkah yang paling wajar ialah memastikan wang yang telah dibayar oleh Malaysia dipulangkan terlebih dahulu.

“Selepas itu, terserah kepada Kerajaan Norway dan syarikat dari negara tersebut untuk menyelesaikan urusan mereka bagi mendapatkan semula jumlah yang telah didahulukan kepada Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN