
MEKAH: Kiswah yang menyelubungi Kaabah sebagai kiblat umat Islam bukan sekadar menampilkan kehalusan seni tangan, malah menyimpan kisah menyentuh jiwa dan nilai pengorbanan yang tinggi.
Hal ini kerana tersingkap perjalanan penuh makna penulis khat Kiswah, Abdul Rahim Amin Bukhari yang mendedikasikan seluruh hidupnya untuk menghasilkan tulisan pada kain menutup Kaabah itu dengan kalimah wahyu ilahi seawal usia 15 tahun.
Perkara itu dimaklumkan ketika Program Delegasi Media Antarabangsa anjuran Pihak Berkuasa Am Pengawalselia Media dan Suruhanjaya Diraja Bandar Raya Mekah dan tanah suci baru-baru ini.
Sewaktu program itu, pengamal media diberitahu walaupun nama Abdul Rahim tidak dikenali di luar Arab Saudi, warisannya terus hidup melalui sulaman benang emas terukir indah pada kain Kiswah menyelubungi Kaabah yang dikunjungi jutaan umat Islam.
Abdul Rahim ketika era pemerintahan Raja Arab Saudi, Raja Faisal Abdulaziz pernah diminta menyatakan ganjaran atas jasa itu, namun permintaan beliau cukup luar biasa apabila hanya mahu namanya terus terpahat pada kiswah Kaabah selepas pemergiannya.
Permintaan tersebut akhirnya diperkenankan setelah Abdul Rahim meninggal dunia pada 1418 Hijrah tanpa meninggalkan zuriat dan namanya kekal ‘hidup’ hingga ke hari ini dan diabadikan pada Kiswah sebagai simbol pengorbanan dan penghargaan terhadap ilmu, seni dan keikhlasan dalam berbakti.
Terdahulu, wartawan Utusan Malaysia yang berpeluang menyaksikan proses penghasilan Kiswah bukan sahaja diberitahu berkenaan kisah Abdul Rahim, tetapi juga penghasilannya daripada benang emas dan sutera berkualiti tinggi serta melibatkan seramai 154 pekerja mahir dalam tempoh kira-kira 10 bulan dengan kos mencecah 25 juta riyal.
Bagi pengamal media yang berpeluang menyaksikan proses berkenaan, pengalaman tersebut amat berharga memandangkan ia jarang dipertontonkan kepada umum.
Penghasilan Kiswah merupakan satu proses yang rumit dan teliti kerana ia bermula daripada penyediaan benang khas yang mampu bertahan dalam cuaca panas Arab Saudi sehinggalah kepada jahitan setiap helaian kaligrafi yang dilakukan dengan penuh ketekunan dan ketelitian tinggi.
Meskipun mereka boleh memilih menggunakan mesin berteknologi moden, tetapi pembuatan masih dilakukan secara manual bagi menjaga kualiti, ketelitian dan keindahan seni kaligrafi apatah lagi membabitkan tulisan ayat-ayat suci al-Quran.
Hasil lawatan itu memperlihatkan penghasilan Kiswah Kaabah bukan sekadar memaparkan keindahan seni dan ketelitian kerja tangan, malah menyerlahkan nilai pengorbanan dan penghargaan terhadap ilmu dan warisan Islam serta lambang kecintaan terhadap kesucian Baitullah yang menjadi tumpuan jutaan umat Islam pada setiap kali musim haji. – UTUSAN










