GOMBAK: Institusi keluarga perlu diperkukuh berasaskan nilai Islam dan pendekatan sirah nabi dalam menghadapi cabaran sosial serta moral yang semakin kompleks dalam masyarakat masa kini.
Perkara itu menjadi fokus utama Seminar Intelektual ‘Pembinaan Keluarga dan Komuniti Menurut Perspektif Islam: Inspirasi daripada Sirah Nabawiyah dan Piagam Mekah’ yang berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), semalam.
Timbalan Rektor Penyelidikan, Inovasi dan Pembangunan UIAM, Prof. Dr. Mohamed Aslam Mohamed Haneef berkata, usaha memperkukuh keluarga dan komuniti perlu digerakkan melalui integrasi ilmu wahyu serta penglibatan intelektual kontemporari.
Katanya, institusi keluarga yang kukuh menjadi asas penting dalam melahirkan masyarakat seimbang dan berdaya tahan.
“Cabaran sosial hari ini menuntut pendekatan lebih menyeluruh yang bukan sahaja menitikberatkan aspek material, tetapi turut berteraskan nilai, akhlak dan panduan wahyu,” katanya selepas merasmikan seminar tersebut.
Turut hadir, Profesor Madya Dr. Khairil Husaini Jamil, Profesor Madya Dr. Roudlotul Firdaus Fatah Yasin, Profesor Madya Dr. Nashwan Abdo Khaled, Profesor Madya Dr. Zunaidah Mohd Marzuki, Profesor Madya Dr. Abu Hafiz dan Profesor Madya Dr. Fatimah Muhammad yang membincangkan beberapa fokus berkaitan pembangunan keluarga dan komuniti berdasarkan perspektif Islam.
Sementara itu, Ahli Lembaga MWL, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, Piagam Makkah menawarkan kerangka penting dalam membentuk keharmonian sosial dan memperkukuh institusi keluarga berdasarkan prinsip Islam.
Katanya, nilai kesederhanaan, tanggungjawab serta kehidupan bersama secara harmoni perlu diterapkan bagi memastikan masyarakat lebih stabil dan bersatu.
Dalam pada itu, Dekan Kulliyyah AbdulHamid AbuSulayman bagi Ilmu Wahyu Islam dan Sains Kemanusiaan, Prof. Dr. Hafiz Zakariya turut menjelaskan, kerjasama antara institusi akademik dan organisasi antarabangsa penting bagi menangani cabaran semasa yang memberi kesan kepada keluarga dan komuniti.
Seminar anjuran Liga Dunia Muslim (MWL) dengan kerjasama beberapa pihak serta Persatuan Pelajar Pengajian al-Quran dan Sunnah (QUSSA) itu menghimpunkan ahli akademik, penyelidik, pelajar dan masyarakat umum bagi mengupas fokus tersebut.
Ia diadakan bersempena sambutan Hari Keluarga Antarabangsa bagi menekankan kepentingan memelihara institusi keluarga sebagai asas kepada pembangunan masyarakat dan tamadun mampan.-UTUSAN










