Rebut peluang 10 terawal Zulhijah

Rebut peluang 10 terawal Zulhijah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISNIN ini kita akan masuk ke bulan Zulhijah yang juga dikenali sebagai bulan haji.

Alhamdulillah, jemaah haji kita juga sudah semakin ramai yang berada di tanah suci. Semoga semua mereka berada dalam sihat walafiat untuk menghadapi hari masyair (kemuncak ibadat haji) bermula 8 hingga 13 Zulhijah.

Yang utama untuk jemaah haji kita adalah menjaga kesihatan dan meneruskan momentum ibadat. Khususnya solat berjemaah di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram yang pahalanya berlipat kali ganda berbanding masjid lain.

Demikian juga bagi yang sudah boleh menyesuaikan diri dengan cuaca di tanah suci, ambillah kesempatan melakukan puasa sunat Isnin dan Khamis. Sebabnya, selain ganjaran yang besar ia juga memperlihatkan kepada kita keindahan ukhuwah Islam bila mana waktu berbuka.

Walaupun tidak mengenali antara satu sama lain, atas kalimah tauhid La ilaha illallah, umat Islam disatukan. Ia sedikit sebanyak mengimbas sejarah bagaimana Nabi SAW mempersaudarakan kaum muhajirin dan ansar semasa berhijrah dari Mekah ke Madinah.

Sepanjang di tanah suci juga, cubalah berkenalan dan bertanya khabar dengan saudara seagama kita daripada pelbagai negara. Janganlah kita mengehadkan ukhuwah sesama kumpulan maktab atau kelompok terbang (KT) sahaja.

Ambil kesempatan bertegur sapa dengan jemaah lain di kiri dan kanan kita setiap kali solat berjemaah. Untuk itu, berikhtiarlah mempelajari bahasa Arab yang mudah untuk bertanya khabar atau bertanyakan nama.

Jika di Masjid Nabawi, selalunya ada sheikh Arab yang membuat kelas mengaji. Ia beri peluang kita menyemak dan membetulkan bacaan terutamanya surah al-Fatihah. Jadi ambillah peluang berada di situ. Mudah-mudahan kita dapat memperbaiki mutu bacaan tajwid.

 

KESEMPATAN EMAS BAGI YANG TIDAK MENUNAIKAN HAJI

Adapun, bagi kita yang berada di Malaysia, jangan pula kita lepaskan peluang merebut pahala amalan dalam 10 hari pertama Zulhijah.

Bagi menguatkan hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik hari di dunia adalah 10 hari itu”. (Riwayat al-Bazzar)

Antara amalan yang amat digalakkan sepanjang 10 awal Zulhijah adalah berzikir (Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha illallah dan Allahu Akbar).

Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu. (al-Hajj: 28)

Ibn Abbas r.a menafsirkan erti ‘hari-hari tertentu’ sebagai 10 hari awal Zulhijah dan inilah pendapat majoriti ulama.

Amalan yang kedua adalah puasa. Umat Islam yang tidak menunaikan fardu haji digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijah. Tarikh 9 Zulhijah iaitu Hari Arafah pula adalah hari terbaik berpuasa.

Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah: “Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah.” (Riwayat Muslim)

Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

Bagaimanapun, tidak ada kelebihan atau ganjaran khusus bagi puasa sunat bermula 1 hingga 8 Zulhijah kecuali pada hari Arafah iaitu hari ke-9 Zulhijah.

Ketiga, melakukan lain-lain amalan seperti bersedekah, membaca al-Quran, solat sunat dan sebagainya.

Seterusnya, menjauhi maksiat. Peluang berada dalam 10 hari awal Zulhijah adalah masa terbaik untuk memulakan taubat bagi sesiapa yang masih menangguhkannya.

Amat biadab jika umat Islam bersuka ria dengan me­lampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT ini. Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat dan sedarlah bahawa hidup ini hanyalah sementara dan seluruh keseronokan itu adalah tipu daya syaitan semata-mata.

Kelima adalah takbir. Saidina Ali menunjukkan bahawa takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu Asar hari ketiga Tasyrik.

Yang terakhir adalah ibadah korban. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan bagi setiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (korban), agar mereka menyebut nama Allah, rezeki yang dikurniakan Allah kepada mereka berupa haiwan ternak. (al-Hajj: 34)
Antara dalil al-Quran dan hadis yang menyebut tentang kelebihan 10 hari awal Zulhijah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Demi fajar dan malam yang 10. (al-Fajr: 1-2)

Menurut Ibnu Kathir: Yang dimaksudkan di sini ialah 10 malam yang pertama bulan Zulhijjah. Demikian juga tafsiran Ibnu Abbas, Ibnu Az-Zubair, Mujahid dan lainnya. (Riwayat Bukhari)

Daripada Ibnu Umar r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang 10 ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid”. (Riwayat Ahmad)

Menurut al-Hafiz Ibnu Hajar: Yang jelasnya, di antara sebab keistimewaan 10 hari Zulhijah ialah terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu solat, puasa, sedekah dan haji. Pada waktu lain, ibadat-ibadat ini tidak pernah terhimpun sebegitu.

Daripada Hunaidah bin Khalid, daripada isterinya, daripada sebilangan isteri-isteri Rasulullah SAW berkata: “Rasulullah SAW berpuasa pada hari sembilan Zulhijah, pada hari Asyura (10 Muharam) dan tiga hari pada setiap bulan”. (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Kelebihan Hari Raya Aidiladha (Yaum an-Nahr) pada 10 Zulhijah. Kebanyakan orang Islam telah lupa akan kelebihan hari ini. Kebesaran dan kelebihan perhimpunan umat Islam yang begitu ramai dari seluruh pelosok dunia.

Sesetengah ulama berpendapat hari ini adalah yang paling afdal dalam setahun sehingga melebihi hari Arafah.

Kesimpulan:
– Dianjurkan untuk tidak memotong kuku dan memotong rambut bermula 1 Zulhijah (18 Mei 2026) sehingga hari sembelihan bagi mereka yang melakukan ibadah korban.
– Haram berpuasa pada 27 Mei 2026 (10 Zulhijah) sehingga 30 Mei 2026 (13 Zulhijah)
– 18 Mei sehingga 26 Mei ini disunatkan berpuasa dan memperbanyakkan amalan soleh kerana pahalanya akan dilipatgandakan.
– Puasa Arafah pada 26 Mei (9 Zulhijah)

MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN