Musyawarah Nasional payung besar bangsa Melayu

Musyawarah Nasional payung besar bangsa Melayu

AHMAD Zahid Hamidi bersama para peserta pada majlis Musyawarah Nasional di Hotel Premiera, Kuala Lumpur kelmarin. – UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Musyawarah Nasional yang lahir pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 adalah satu ‘Makmal Pemikir Bangsa’ yang menjadi ruang untuk menguji fakta, pemisah persepsi dan tindakan mengenai keresahan orang Melayu pada masa ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Musyawarah Nasional bukan untuk menyemarakkan ketakutan, mencetuskan perbalahan dan menuding jari mencari kesalahan sebaliknya menyelesaikan keresahan bangsa.

Menurutnya yang juga pengasas Musyawarah Nasional, negara telah melalui fasa peralihan besar sejak 2018 yang menguji daya tahan rakyat susulan perubahan politik, tekanan ekonomi pasca-COVID-19, ketidaktentuan geopolitik, konflik dunia serta ledakan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) dan automasi yang mengubah cara manusia berfikir, berinteraksi dan membina masa depan.

“Dalam suasana inilah keresahan Melayu terbentuk. Ia tidak muncul secara tiba-tiba, tetapi terkumpul sedikit demi sedikit melalui tekanan yang berpanjangan.

“Hari ini, keresahan itu bukan lagi sekadar persepsi. Ia menyentuh emosi, maruah, keyakinan dan persoalan besar tentang kedudukan bangsa kita di tanah air sendiri.

“Namun, apabila kita berbicara tentang keresahan Melayu, jangan sesekali disalahertikan sebagai penolakan terhadap perpaduan. Ini bukan soal perkauman. Ini soal Musyawarah Nasional ‘Keresahan Bangsa Melayu: Apakah Penyelesaiannya’, tanggungjawab terhadap bangsa teras yang menjadi satu daripada tunjang kestabilan, keharmonian dan kemakmuran negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Musyawarah Nasional ‘Keresahan Bangsa Melayu: Apakah Penyelesaiannya’, di ibu negara, kelmarin.

Beliau menegaskan, keresahan bangsa Melayu sekarang ini tidak boleh dibakar menjadi kebencian, dimanipulasi menjadi modal politik sempit dan dijadikan alasan untuk meruntuhkan keharmonian negara.

“Sebaliknya, keresahan ini mesti diurus dengan ilmu, dipandu dengan hikmah dan digerakkan dengan keberanian supaya resah tidak menjadi marah, tetapi berubah menjadi arah,” katanya.

Himpunan yang menghimpunkan lebih 2,000 peserta yang terdiri daripada tokoh masyarakat, ulama, golongan profesional, ahli akademik, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) itu membincangkan lima teras berkaitan cabaran dan masalah yang membelenggu orang Melayu ketika ini.

Teras Agama

Pengerusi Teras Agama, Prof Datuk Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim memaklumkan kajian lapangan Musyawarah Nasional mendapati majoriti masyarakat Melayu menunjukkan kebimbangan tinggi terhadap isu agama, identiti Melayu-Islam serta pengaruh liberalisme dan pluralisme.

Teras Agama Musyawarah Nasional juga mencadangkan supaya institusi dan perundangan syariah diperkasa termasuk menaik taraf kuasa Mahkamah Syariah menerusi pindaan akta berkaitan seperti RUU 355.

Teras Politik

Pengerusi Teras Politik, Prof Dr Zainal Abidin Sanusi memaklumkan pemimpin dan parti politik Melayu hari ini tidak lagi boleh melihat pendekatan sama bahawa hanya satu parti politik saja boleh menyelesaikan segala masalah membabitkan orang Melayu.

Menurut Zainal, platform Musyawarah Nasional ini juga mesti bersifat diagnostik dan konsensus.

Teras Ekonomi

Pengerusi Teras Ekonomi , Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir Jamalullail mencadangkan Pelan Tindakan Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) perlu diangkat sebagai dasar negara setaraf Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi memastikan keberkesanan pelaksanaannya secara menyeluruh.

Menurutnya, walaupun kerajaan sudah melaksanakan pelbagai intervensi termasuk melalui Kongres Ekonomi Bumiputera yang diterjemahkan dalam PuTERA35, pelaksanaan dasar itu masih belum mencapai tahap penyelarasan menyeluruh.

Teras Pendidikan

Pengerusi Teras Pendidikan, Prof Datuk Seri Dr. Noor Inayah Ya’akub memaklumkan bahawa pendidikan kekal menjadi teras utama dalam pembangunan bangsa Melayu.

Katanya, agenda pemerkasaan pendidikan sebagai asas pembinaan modal insan berkualiti dapat meningkatkan keupayaan generasi masa hadapan bangsa Melayu.

Teras sosial

Pengerusi Teras Sosial, Prof Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, Malaysia tidak akan mampu untuk kukuh seperti awal kemerdekaan kerana semua orang Melayu tidak mahu bersatu.

“Dan inilah sebabnya kerisauan itu berlaku. Apabila tidak bersatu, bangsa lain akan mengambil kesempatan di atas kelemahan kita. Justeru, isu-isu yang dibangkitkan oleh pengasas Musyawarah Melayu ini akan berlaku sepertimana yang kita lihat pada hari ini,” katanya.

 

AHMAD Zahid Hamidi berucap ketika majlis Musyawarah Nasional
di Hotel Premiera, Kuala Lumpur, kelmarin.

Resolusi Musyawarah Nasional

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberi jaminan bahawa segala resolusi dan cada­ngan yang dibangkitkan dalam Musyawarah Nasional tidak akan dibiarkan menjadi retorik atau dokumen simpanan semata-mata, sebaliknya akan dipantau sehingga ke peringkat pelaksanaan.

“Saya tidak mahu resolusi hanya diserahkan kepada kementerian dan jabatan, kemudian dibakulkan begitu sahaja. Musyawarah Nasional menuntut tindakan susulan yang serius.

“Saya sendiri akan membawa cadangan-cadangan ini kepada Kabinet dan semua menteri Melayu-Islam dalam kerajaan perlu memainkan peranan untuk memastikan agenda ini dilaksanakan,” katanya.

Tambahnya, satu sekretariat tetap di bawah Musyawarah Nasional juga akan diwujudkan bagi memantau pelaksanaan semua cadangan yang dikemukakan selain memastikan lima teras utama kepentingan Mela­yu iaitu agama, politik, ekonomi, pendidikan dan sosial dibin­cangkan secara berkala. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN