KUANTAN: Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) diminta meneliti semula mekanisme penjualan tiket perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijadual beroperasi tahun depan bagi memastikan rakyat negeri ini tidak terpinggir.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara itu dibangkitkan susulan kebimbangan terhadap kapasiti penumpang yang terhad bagi setiap perjalanan.
Katanya, setiap tren ECRL hanya mampu menampung kira-kira 400 penumpang bagi satu perjalanan sekali gus menimbulkan kebimbangan tiket habis dijual dalam tempoh singkat.
“Kita bimbang kerana setiap perjalanan hanya boleh memuatkan kira-kira 400 penumpang. Jadi kita khuatir tiket habis dibeli lebih awal sehingga menjejaskan penumpang dari Pahang dan Terengganu.
“Saya minta pihak MRL mengkaji perkara ini termasuk mempertimbangkan agihan peratusan tertentu bagi memastikan semua negeri mendapat peluang yang adil. Kita faham mereka menjalankan perniagaan, namun aspek keseimbangan itu perlu diberi perhatian.
“Selain itu, kita berharap penjualan tiket tidak dibuat secara blok khususnya pada musim perayaan kerana dibimbangi ia akan menyebabkan tiket habis dibeli oleh pihak tertentu,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Pas-Cheka) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata, operasi awal ECRL yang dijangka bermula pada awal tahun depan hanya melibatkan laluan sehingga ke Gombak terlebih dahulu sebelum diperluas ke kawasan Lembah Klang.
“ECRL dijangka siap pada hujung tahun ini dan mula beroperasi pada awal tahun depan. Pada peringkat permulaan, operasi melibatkan laluan sehingga ke Gombak dan belum sampai ke Lembah Klang,” katanya. – UTUSAN









