Akses pendidikan STI diperluas kepada golongan OKU

Akses pendidikan STI diperluas kepada golongan OKU

CHANG Lih Kang semasa berucap ketika Hari Istimewa Sains di Pusat Sains Negara hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Akses pendidikan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) diperluaskan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) menerusi penganjuran Hari Sains Istimewa 2026 di Pusat Sains Negara (PSN), hari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, program tahunan itu dianjurkan bagi memastikan semua golongan masyarakat termasuk komuniti OKU mendapat peluang sama rata untuk mendekati bidang sains, teknologi dan inovasi.

“Ini adalah satu inisiatif yang dijalankan oleh MOSTI melalui Pusat Sains Negara supaya boleh memberikan peluang yang sama kepada semua golongan masyarakat termasuk golongan OKU.

“Kita harap semua orang tidak ada yang dipinggirkan, terutama dalam pembelajaran sains, teknologi dan inovasi,” katanya semasa berucap dalam program Hari Sains Istimewa 2026 di PSN, hari ini.

Beliau berkata, program berkenaan sudah dianjurkan lebih 10 tahun dan kini semakin mendapat sambutan dengan penglibatan lebih ramai peserta serta kerjasama pelbagai pihak termasuk Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan sektor swasta.

“Pelbagai produk serta inovasi mesra OKU turut dibangunkan bagi membantu golongan berkenaan memahami sains dengan lebih mudah termasuk penggunaan bahan braille dan model gambar rajah 3D yang boleh disentuh.

“Dulu mungkin kita terjemahkan penulisan dalam bentuk braille sahaja, tetapi sekarang planetarium juga mempunyai gambar rajah 3D yang boleh disentuh.

“Semakin lama semakin banyak produk dihasilkan bagi membantu golongan OKU memahami sains dengan lebih baik,” katanya.

Chang berkata, MOSTI juga menggalakkan inovator tempatan menghasilkan idea dan prototaip yang mampu membantu komuniti OKU menerusi pertandingan serta program inovasi.

Dalam pada itu, beliau berkata Hari Sains Istimewa 2026 turut seiring dengan aspirasi Minggu Sains Negara (MSN) 2026 yang menyasarkan 1.15 juta penyertaan bagi memperluaskan pendedahan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada seluruh lapisan masyarakat.

“Pendekatan pembelajaran secara bermain sambil belajar diterapkan bagi memastikan pengalaman pembelajaran STI lebih menyeronokkan dan inklusif kepada semua kanak-kanak,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN