SHAH ALAM: Mengambil sikap tenang untuk fokus dalam menyelesaikan masalah dan tugasan serta ketika mengikuti kuliah menjadi kunci seorang graduan orang kurang upaya (OKU) menamatkan pengajian di peringat ijazah sarjana muda.
Walaupun kehilangan sebelah kaki sejak berusia 13 tahun, namun kekurangan itu tidak menghalang Nazrul Helmy Rahim mendapat tempat di menara gading dan seterusnya menggenggam segulung ijazah.
Menurut graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Taman dan Ameniti dari Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang juga atlet paralimpik dalam sukan memanah itu, menjadikan kekurangan pada dirinya sebagai suatu kekuatan untuk menempuhi cabaran di kampus.
“Saya tidak pernah terlintas untuk belajar tentang pengurusan taman, tempat rekreasi, ameniti dan seumpamanya. Saya isi borang Unit Pusat Universiti (UPU) hanya untuk dapat tempat di universiti kerana fokus sebenar saya adalah pada sukan memanah.
“Bila mula memasuki kuliah, barulah saya timbul minat dan belajar banyak perkara yang saya tak terfikir selama ini seperti macam mana menguruskan Tasik Shah Alam. Pengurusan taman antara bidang yang mencabar tetapi dalam masa sama dapat blend in dengan alam semula jadi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-103.
Tambahnya, anak kedua daripada dua beradik itu mengakui bergelar OKU ketika menjadi mahasiswa bukan suatu yang mudah, walaupun dengan bantuan kaki palsu.
Menurut Nazrul Helmy, dia kehilangan kaki kirinya selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya akibat dilanggar sebuah kereta ketika sedang menunggang motosikal pada Mac 2014.
“Bukan mudah. Penat itu memang perkara biasa, tetapi saya tahu bagaimana saya boleh fokus. Saya mengamalkan sikap tenang yang membantu untuk fokus supaya dapat terus mengikuti kuliah.
“Teknik yang sama jugalah bukan saya mungkin juga atlet memanah lain gunakan ketika sedang memanah. Kalau tidak tenang, nanti anak panah akan tersasar, lari dari sasaran,” ujarnya yang berasal dari Bagan Datuk, Perak.
Jelas Nazrul Helmy, 24, perancangannya selepas ini adalah memberi tumpuan kepada latihan bagi memasuki Sukan Malaysia (SUKMA) di Selangor pada tahun hadapan.
“Mungkin lari sedikit daripada bidang yang saya belajar. Kerana saya masih aktif memanah dan mahu memberi tumpuan terhadap sukan itu kerana berhasrat menyertai SUKMA dan seterusnya mewakili negara di peringkat lebih tinggi.
“Malah, ketika ini pun saya bekerja di kedai aksesori sukan memanah. Andai kata bila bekerja nanti, saya mahu terus aktif dan mungkin menjadi jurulatih kepada rakan-rakan sekerja yang minat memanah,” kongsinya. – UTUSAN










