MNRB akan ambil alih Labuan Re pada nilai RM400 Juta

MNRB akan ambil alih Labuan Re pada nilai RM400 Juta

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: MNRB Holdings Berhad (MNRB) akan mengambil alih baki 80 peratus pegangan dalam Labuan Reinsurance (L) Ltd (Labuan Re) pada nilai tunai AS$100.69 juta (RM400.49 juta) bagi memperkukuh platform insurans semula kumpulan itu.

Ketika ini, Labuan Re merupakan syarikat bersekutu kepada Malaysian Reinsurance Berhad (Malaysian Re), anak syarikat milik penuh MNRB yang memiliki 20 peratus kepentingan dalam syarikat itu.

Pengerusi MNRB, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, pengambilalihan itu merupakan langkah penting dalam perjalanan pertumbuhan MNRB dan mencerminkan keyakinan syarikat terhadap potensi jangka panjang Labuan Re sebagai sebahagian daripada Kumpulan.

“Labuan Re telah membina kedudukan yang kukuh dalam pasaran insurans semula antarabangsa dan kami percaya penggabungan penuh syarikat itu di bawah MNRB akan mewujudkan platform lebih mantap untuk pertumbuhan masa depan.

“Sebagai sebuah kumpulan, kami kekal fokus untuk membina skala perniagaan secara bertanggungjawab, memperkukuh relevansi serantau serta memastikan modal digunakan dengan cara yang menyokong penciptaan nilai mampan.

“Urus niaga ini sejajar dengan hala tuju tersebut dan memperkukuh komitmen kami untuk membangunkan MNRB sebagai kumpulan insurans semula dan retakaful yang lebih kukuh serta berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan.

Selepas urus niaga dimuktamadkan, Malaysian Re akan mengekalkan pegangan 20 peratus sedia ada, manakala baki 80 peratus akan dipegang secara langsung oleh MNRB, sekali gus menjadikan Labuan Re sebagai anak syarikat milik penuh kumpulan tersebut.

Beliau berkata, pengambilalihan itu akan mengukuhkan lagi kehadiran antarabangsa kumpulan dalam sektor insurans semula dan retakaful selain menyokong fasa pertumbuhan global syarikat.

“Labuan Re merupakan syarikat insurans semula luar pesisir yang berpangkalan di Labuan International Business and Financial Centre dan menjalankan perniagaan insurans semula am serta retakaful am di beberapa pasaran antarabangsa.

“Melalui anak syarikat milik penuhnya, Labuan Re Underwriting Limited (LRUL), syarikat itu turut menyertai pasaran Lloyd’s bagi memperluaskan akses kepada peluang pengunderaitan khusus dan kumpulan risiko global,” ujarnya.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, Labuan Re mencatat keuntungan selepas cukai sebanyak AS$26.66 juta (RM121.59 juta) dengan aset bersih berjumlah AS$197.54 juta (RM884.09 juta).

Sulaiman berkata, pengambilalihan itu juga membolehkan kumpulan menyelaraskan operasi Labuan Re dengan strategi pertumbuhan jangka panjang selain mengoptimumkan penggunaan modal dalam perniagaan insurans semula dan retakaful.

“Urus niaga itu turut dilaksanakan pada penilaian yang dianggap menarik dan berdisiplin oleh MNRB, dengan nilai pembelian mewakili kira-kira 0.88 kali nilai aset bersih ketara larasan Labuan Re setakat 31 Disember 2024,” jelasnya.

Cadangan pengambilalihan itu melibatkan pembelian 120 juta saham biasa dalam Labuan Re dan akan dibiayai menerusi gabungan dana dalaman serta pinjaman luar.

Urus niaga tersebut tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan dan pemegang saham MNRB yang tidak berkepentingan serta dijangka selesai menjelang suku keempat 2026. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN