SIK: Seorang mekanik sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan memiliki senjata api dan peluru tanpa lesen pada 6 Mei lalu.
Tertuduh, Mohd. Shahifuldin Mohd. Shahiran, 46, membuat pengakuan tidak bersalah sebaik semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki selaras senapang jenama Remington model 1100 buatan Amerika syarikat tanpa lesen atau permit sah.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 14 tahun dan disebat tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh memiliki 156 butir peluru hidup pelbagai jenis tanpa lesen atau permit sah dengan pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Tertuduh dalam pertuduhan ketiga didakwa memiliki sepucuk pistol tiruan bertulis Glock 19 Gen 4 buatan Austria berserta satu kelopak peluru.
Pendakwaan bagi pertuduhan tersebut dilakukan di bawah Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Kampung Luar Siong, Baling dekat sini kira-kira pukul 6 petang, 6 Mei lalu.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Nadia Jamal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan kepada tertuduh dan menetapkan 12 Julai depan untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam serta serahan dokumen.
Utusan Malaysia pada 13 Mei lalu melaporkan, seorang mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Majistret Baling atas pertuduhan memiliki lima senjata api dan peluru tanpa lesen atau permit sah di sebuah bengkel membaiki kenderaan di Kampung Siput, Siong di Baling, 1 Mei lalu. – UTUSAN










