ISKANDAR PUTERI: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) tidak akan mengenakan sebarang caj parkir kenderaan kepada pengguna di seluruh kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sepanjang bulan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, parkir percuma itu dibuat bagi memberi ruang orang ramai memuat turun aplikasi sistem parkir baharu iaitu Parkmax@JOHOR.
Menurut beliau, aplikasi yang akan menggantikan sistem MBJBSpot itu akan mula beroperasi sepenuhnya bermula 1 Jun depan.
“Pengguna MBJBSpot yang masih mempunyai baki kredit boleh membuat tuntutan atau pengemaskinian kredit melalui borang dalam talian atau hadir ke kaunter MBJB sehingga 31 Mei 2026. MBJB beri jaminan baki kredit sedia ada tidak akan terjejas serta proses migrasi akan diselesaikan secara berfasa.
“Pengenalan sistem baharu ini sebahagian daripada usaha menyeragamkan sistem parkir digital di seluruh negeri. Isu ini telah tertangguh berbelas tahun kerana setiap PBT mempunyai sistem parkir berbeza hingga menimbulkan kekeliruan rakyat,” katanya pada sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Jafni, enam PBT yang telah mengguna pakai sistem Parkmax@JOHOR ketika ini adalah Majlis Bandaraya Iskandar Puteri; Majlis Perbandaran Kulai; Majlis Perbandaran Muar; Majlis Perbandaran Segamat; Majlis Daerah Tangkak dan Majlis Daerah Mersing.
Sementara itu, beliau memberitahu kerajaan negeri maklum dengan keluhan rakyat Johor khususnya di bandar raya Johor Bahru berhubung dakwaan rumah kediaman di negeri ini terdiri daripada ‘rumah mampu tengok’.
“Sejak 2022, kita mendengar keluhan rakyat. Istilah ‘rumah mampu tengok’ bukan sekadar ungkapan, tetapi gambaran sebenar kegelisahan rakyat yang berdepan jurang antara impian dan kemampuan. Kita tidak menolak realiti tersebut tetapi berusaha memastikan setiap pembangunan membuka ruang kepada rumah mampu milik.
“Sebab itu Johor terus menyediakan pelbagai kategori harga rumah, termasuk rumah berharga RM42,000, RM80,000, RM150,000, RM250,000 dan RM300,000 mengikut kelayakan serta kemampuan rakyat. Kita mahu rakyat lihat bahawa rumah mampu milik bukan janji kosong, tetapi dasar yang sedang digerakkan dengan serius,” katanya. – UTUSAN









