MB Perlis bubar DUN jika Pas kemuka usul undi tidak percaya

MB Perlis bubar DUN jika Pas kemuka usul undi tidak percaya

ABU BAKAR HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis sekiranya enam wakil rakyat Pas mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap beliau dalam sidang DUN yang dijadual pada 3 hingga 5 Jun ini.

Katanya, beliau tidak mempunyai pilihan dan menunggu sebarang tindakan dari wakil rakyat Pas tersebut jika berhasrat berbuat demikian.

Abu Bakar berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perlis tertubuh selepas peralihan kuasa di peringkat kerajaan negeri, yang mana Raja Perlis turut telah mengamanahkan sebelum ini agar dipertahankan kerajaan tersebut selepas pelantikan beliau sebagai Menteri Besar.

“Namun sekiranya berlaku perkara-perkara tidak diingini (undi tidak percaya) saya tidak ada pilihan (bubarkan DUN). Jika berlaku dan mungkin berlaku, saya membuat keputusan dan tidak ada pilihan terpaksa bubarkan DUN.

“Jika ada unsur-unsur membuat undi tidak percaya semasa sidang DUN nanti, kita bubar, apa masalah, bagi saya orang politik, tidak pernah kenal erti takut,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Malam Citra Warna Kuala Perlis 2026 di sini semalam.

Kelmarin Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak menghormati semangat setiakawan dalam gabungan PN termasuk dalam kemelut politik di Negeri Sembilan selain sebelum ini telah bertindak menyokong usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar dari Pas di Perlis.

Ahli Parlimen Marang itu turut memaklumkan akan berbincang dengan pimpinan Perlis mengenai tindakan selanjutnya.
Sidang DUN Perlis dijadual berlangsung pada 3 sehingga 5 Jun depan dijangka menarik perhatian dengan kemungkinan enam wakil rakyat Pas mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar.

Sebelum ini, enam wakil rakyat dari Pas menuntut penjelasan Abu Bakar berhubung penangguhan sidang DUN Perlis yang sepatutnya berlangsung pada 21 sehingga 23 April lalu.

Desakan tersebut diketuai Mohd. Shukri Ramli (Sanglang) bersama lima yang lain iaitu Muhammad Azmir Azizan (Santan); Asrul Aimran Abd Jalil (Kayang); Razali Saad (Simpang Empat); Wan Badariah Wan Saad (Mata Ayer) dan Haziq Asyraf Dun (Beseri).

Bagaimanapun Abu Bakar menafikan penangguhan sidang DUN Perlis tersebut disebabkan beliau takut digulingkan.
Abu Bakar berkata, kerajaan PN Perlis masih kekal disebalik kenyataan Abdul Hadi yang sedang meneliti hubungan dan kerjasama politik dengan Bersatu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Kita di dalam PN Perlis terus mengekalkan persaudaraan dan apa pun, perkembangan politik dari masa ke semasa boleh berubah.

“Bagaimanapun, Perlis sentiasa kekal dalam kerajaan PN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN