KANGAR: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan telah menyerahkan notis secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kekosongan tiga kerusi DUN di negeri ini.
Notis tersebut diserahkan sendiri oleh Russ’sele di SPR negeri, di sini, pada pukul 12 tengah hari.
Kekosongan tiga kerusi itu melibatkan kawasan DUN Chuping, DUN Bintong dan DUN Guar Sanji rentetan krisis yang didakwa melanda pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini.
Minggu lalu, lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) Perlis dikatakan telah bertemu Raja Perlis dengan majoriti menyatakan telah hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Mohd. Shukri Ramli.
Susulan itu, Pas turut mengambil tindakan memberhentikan keahlian tiga ADUN parti itu di Perlis yang dikatakan telah menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menarik sokongan terhadap Mohd. Shukri.
Tiga wakil rakyat terlibat adalah Fakhrul Anwar Ismail (Bintong), Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) dan Saad Seman (Chuping)
Mohd. Shukri pada Khamis lalu turut mengumumkan melepaskan jawatan beliau sebagai Menteri Besar selepas mempersembahkan hasrat itu kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Semalam, ADUN Kuala Perlis daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Abu Bakar Hamzah telah dilantik sebagai Menteri Besar yang baharu. – UTUSAN










