Mayat mangsa lemas kedua di Paka dijumpai dua kilometer dari lokasi kejadian

Mayat mangsa lemas kedua di Paka dijumpai dua kilometer dari lokasi kejadian

MAYAT mangsa kedua kejadian lemas ketika mandi di Sungai Beril, Paka, Dungun, Terengganu ditemukan hari ini kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Mayat mangsa kedua yang lemas ketika mandi di Sungai Beril, Paka, di sini, ditemukan hari ini kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian. 

Mayat Muhammad Aidil Amsyar Mohd. Zul-Zunaidi, 14, ditemukan terapung berhampiran sebuah jeti di Pasar Paka, kira-kira pukul 9.55 pagi.

Mayat mangsa pertama yang juga abangnya, Muhammad Amir Ashraf, 15, ditemukan kira-kira pukul 3.45 petang semalam di kedalaman 5.1 meter di dasar sungai, iaitu kira-kira tujuh meter dari lokasi terakhir dia dilaporkan hilang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintenden Jumaidy Bah Chong Weh berkata, mayat Muhammad Aidil Amsyar yang merupakan pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Durian Guling, Marang dijumpai orang awam sebelum menghubungi pasukan mencari dan menyelamat.

“Pengecaman mayat mangsa telah dibuat oleh ibu bapa mangsa di lokasi kejadian. Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut,” katanya hari ini.

Kedua-dua beradik itu mandi di Sungai Beril kira-kira pukul 10.50 pagi semalam bersama dua rakannya iaitu Muhammad Farish Iqbal Cik Mohana Runasdi, 14, dan Muhammad Afi Naashif Adli Noone, 15, semasa tragedi itu berlaku. Dua rakan mereka itu selamat.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohd. Zul-Zunaidi Mohd. Baldin, 40, berkata, kedua-dua anaknya itu teruja apabila diberitahu akan menyambut Hari Raya Aidiladha di rumah ahli keluarganya di Kampung Melor, Ketereh, Kelantan. 

“Kedua-duanya tinggal di asrama di SMKA Durian Guling. Ketika saya jemput Khamis lalu, mereka sangat gembira. Mereka kelihatan teruja nak balik kampung sebab kami sudah beberapa bulan tidak pulang,” katanya.

Menurutnya, dia tidak menyangka perubahan sikap dua anaknya itu yang bertukar manja dan suka bergurau dengannya menjadi petanda pemergian mereka.

Katanya, dia sempat memenuhi permintaan kedua-dua anaknya itu untuk berkelah di Sungai Kelemin di Hulu Dungun pada Jumaat lalu. 

“Mereka beritahu nak mandi sungai sebab sudah lama tidak berbuat, kebetulan mereka mula cuti sekolah, saya bawa mereka mandi sungai dan mereka sangat gembira,” katanya yang reda dengan ketentuan Allah SWT. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN