SHAH ALAM: Kadar gaji minimum RM1,700 dijangka dinaikkan dan perinciannya akan diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semakan dan kajian mengenai pelarasannya berada pada peringkat akhir sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.
Katanya, langkah itu antara usaha menangani jurang pendapatan yang ketara, khususnya membabitkan graduan yang bakal memasuki alam pekerjaan.
Menurutnya, kadar upah pekerja perlu bergerak seiring peningkatan produktiviti, terutama apabila syarikat mencatat keuntungan tinggi.
“Masalahnya kita sudah naikkan daripada RM1,200 kepada RM1,500 dan sekarang RM1,700 iaitu minimum untuk sektor swasta. Kadar upah di Malaysia, produktiviti meningkat tetapi kadar upah meningkat sangat rendah. Kita gunakan kuasa kerajaan untuk menekan sedikit.
“Sejak saya jadi Perdana Menteri, saya tukar fokus itu, kadang-kadang bonus untuk ketua pegawai eksekutif (CEO), lapan bulan, pekerja bawahan (pula) dua bulan.
“Tak setuju, saya patahkan sikap itu, kalau bonus tiga bulan, CEO pun tiga bulan, pekerja tukang angkat sampah pun sama. Sebab, gaji CEO RM40,000 yang tukang angkat sampah pula RM2,000, sudahlah gajinya berbeza,” katanya dalam forum pada Himpunan Mesra Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, semalam.
Terdahulu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM, Muhammad Adib Hazim Mohamad Razali melontarkan persoalan berkenaan kebolehpasaran graduan dan kebimbangan terhadap mereka yang akhirnya bekerja di luar kelayakan akademi.
Jelas Anwar, gaji minimum bagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebanyak RM3,100 yang ditetapkan sejak tahun lalu sewajarnya menjadi penanda aras kepada sektor swasta.
Bagaimanapun, beliau mendakwa masih tidak berpuas hati dengan syarikat-syarikat besar apabila mencatatkan keuntungan yang sangat tinggi dan seharusnya turut meningkatkan kadar upah pekerja.
Sementara itu, Anwar mengisytiharkan Kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jalan Othman, Petaling Jaya, dinamakan semula sebagai Kampus UiTM Tun Arshad Ayub Jalan Othman, sebagai mengenang jasa dan sumbangan tokoh pendidikan itu dalam pembangunan institusi berkenaan dengan meluluskan peruntukan segera RM2.5 juta.
Keputusan itu sebagai penghargaan terhadap legasi Allahyarham, yang bukan sahaja memainkan peranan penting dalam perkembangan Institut Teknologi Mara (ITM) sehingga menjadi UiTM, malah terkenal dengan ketegasan dalam soal mutu pendidikan, tatakelola dan peluasan peluang pendidikan kepada anak Bumiputera.
Allahyarham yang meninggal dunia pada 2022, merupakan pengarah pertama ITM sejak 1967 sehingga 1975, sebelum dikenali sebagai UiTM, adalah pencetus idea kepada perkembangan pendidikan di ITM. – UTUSAN











