Masjid Bandaraya Adelaide lambang perpaduan komuniti Islam

Masjid Bandaraya Adelaide lambang perpaduan komuniti Islam

SHADI Alsuleiman (kiri) ketika melancarkan Model Masjid Bandaraya Adelaide di Muzium Kesenian Islam Malaysia, hari ini. UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hubungan Malaysia-Australia terus diperkukuh menerusi pelancaran model Masjid Bandaraya Adelaide yang menjadi simbol perkongsian sejarah Islam, kepelbagaian budaya dan persefahaman antara kedua-dua negara.

Presiden Majlis Imam Nasional Australia, Shadi Alsuleiman berkata, Masjid Bandaraya Adelaide yang dibina pada 1888 merupakan masjid tertua yang masih berfungsi di Australia dan menjadi bukti sejarah panjang perkembangan Islam di negara itu.

Katanya, pelancaran model masjid tersebut di Malaysia turut mencerminkan penghargaan bersama terhadap warisan Islam dan hubungan antara rakyat kedua-dua negara.

“Masjid Adelaide telah wujud lebih 130 tahun lalu dan masih digunakan sehingga kini. Masyarakat terus menunaikan solat di sana dan komuniti mereka terus berkumpul bersama.

“Ia menunjukkan bagaimana keimanan, dialog dan khidmat masyarakat dapat disatukan untuk membina komuniti inklusif serta memperkukuh persefahaman dalam masyarakat pelbagai budaya.

“Ia juga memperlihatkan bagaimana masjid moden boleh berfungsi sebagai ruang untuk keagamaan, pendidikan dan hubungan komuniti,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Model Masjid Bandaraya Adelaide di Muzium Kesenian Islam Malaysia di sini, hari ini.

Shadi Alsuleiman berkata, sejarah Islam di Australia sebenarnya bermula jauh lebih awal sebelum kedatangan British dan masyarakat Eropah ke negara itu sekitar 1770-an.

Katanya, hubungan masyarakat Muslim dengan Australia telah terjalin sejak 500 tahun lalu menerusi pertemuan masyarakat pribumi Australia dengan komuniti Makassar dari Sulawesi, Indonesia.

“Mereka merupakan umat Islam yang berkongsi akidah yang sama walaupun mungkin bukan daripada bangsa atau wilayah yang sama. Saya menyebut sejarah itu dengan penuh rasa bangga kerana ia tercipta atas dasar kegembiraan dan saling menghormati.

“Semangat kegembiraan dan hormat-menghormati itu berterusan sehingga tahun 1800an apabila masyarakat Camelese datang ke Australia dan menyumbang kepada pembangunan negara tersebut,” katanya.

Menurut beliau, masyarakat Camelese memainkan peranan penting dalam menghubungkan bandar-bandar di Australia menerusi sistem pengangkutan menggunakan unta yang dibawa dari Pakistan dan rantau India.

Katanya, sumbangan komuniti Muslim terdahulu itu menjadi antara asas penting dalam perkembangan masyarakat Islam di Australia sehingga hari ini.

“Sebahagian daripada sumbangan mereka adalah menghubungkan bandar-bandar yang luas di Australia melalui sistem pengangkutan menggunakan unta yang dibawa bersama mereka dari Pakistan dan rantau India atau benua kecil India.

“Hari ini, bukan sahaja kami meraikan sejarah itu di Australia, malah kami turut meraikannya di sini, di Kuala Lumpur, Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Shadi Alsuleiman turut merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Tinggi Australia dan Muzium Kesenian Islam Malaysia atas usaha memperkenalkan sejarah Islam di Australia kepada masyarakat antarabangsa.

Katanya, pelancaran model Masjid Bandaraya Adelaide itu diharap dapat menjadi simbol perpaduan dan persefahaman dalam kalangan masyarakat Islam serta komuniti pelbagai budaya.

“Insya-Allah, hari ini akan menjadi hari yang penuh bermakna bukan sahaja kepada rakyat Australia, tetapi juga kepada seluruh rakyat Malaysia dan dunia Islam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN