PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (Mara) bersetuju menurunkan kadar sewaan bagi 7,135 lot premis perniagaannya di seluruh negara sebanyak 20 peratus.
Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya telah menerima arahan untuk menurunkan kadar sewaan premis perniagaan miliknya secara terus daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Oleh itu, katanya, pihaknya bersetuju memberikan diskaun sehinga 20 peratus kepada penyewa di seluruh negara dalam tempoh krisis ekonomi yang sedang melanda negara.
“Bukan itu sahaja, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga mengarahkan supaya Mara memaklumkan kepada semua peminjam dan penyewa untuk tampil sekiranya mengalami masalah kewangan dalam tempoh krisis ini.
“Mereka boleh datang ke pejabat-pejabat Mara di daerah, negeri mahu pun ibu pejabat untuk menstruktur atau menjadualkan semula pinjaman,” katanya dalam rakaman video yang dikongsikan hari ini.
Beliau berkata, inisiatif itu adalah bagi membantu peminjam atau penyewa Mara yang mengalami masalah kewangan untuk menguruskan aliran kewangan masing-masing sekali gus meringankan beban mereka ketika negara berhadapan dengan pelbagai kemelut ekonomi global.
Terdahulu, Perdana Menteri mengarahkan agensi persekutuan untuk mengurangkan kadar sewaan premis perniagaan milik mereka kepada peniaga mulai bulan ini dalam usaha membantu menurunkan kos operasi golongan terbabit.
Pada masa sama, beliau turut menyeru semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara untuk mengambil pendekatan sama.
Tambahnya, kebanyakan premis-premis perniagaan di luar sana dimiliki oleh syarikat berkaitan kerajaan atau agensi kerajaan seperti Mara dan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA).
“Mulai bulan ini juga (agensi persekutuan) akan mengurangkan kadar sewa di semua premis perniagaan mereka. Perkara itu akan diumumkan mengikut daerah dalam masa terdekat ini,” katanya.
Perdana Menteri berkata, langkah itu diambil dalam meneladani inisiatif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang telah menurunkan kadar sewaan premis miliknya sebelum ini dalam usaha meringankan beban peniaga yang mengalami peningkatan kos operasi.-UTUSAN










