Proses pengambilan pegawai perubatan siswazah konsisten

Proses pengambilan pegawai perubatan siswazah konsisten

kesihatan
KEMENTERIAN KESIHATAN MAIALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

PETALING JAYA: Proses pengambilan Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) berjalan secara konsisten dengan kemasukan Siri 1 Tahun 2026 seramai 529 orang graduan telah melapor diri.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan berkata, berdasarkan data tahun 2022 hingga 2025, pihaknya secara konsisten menerima sekitar 3,200 PPS setiap tahun.

Katanya, bagi isu pengambilan PPS seramai 529 orang graduan yang dilaporkan sebelum ini adalah merujuk kepada kemasukan bagi Siri 1 Tahun 2026 saja.

“Pengisian dan penempatan PPS dibuat secara berperingkat melalui enam siri setahun kerana graduan perubatan menamatkan pengajian pada masa yang berbeza.

“Oleh itu, baki kuota 5,000 slot latihan siswazah akan diisi setelah graduan melapor diri,” katanya hari ini.

Menurut KKM, bagi pelantikan tetap melibatkan pegawai perubatan kontrak tahun 2026 pula, seramai 328 daripada 4,500 pegawai perubatan kontrak telah ditawarkan pelantikan tetap pada bulan Februari lalu.

Manakala, baki seramai 4,172 Pegawai Perubatan kontrak akan ditawarkan lantikan tetap secara berfasa pada tahun ini dan ia sedang serta akan terus melaksanakan penambahbaikan secara berterusan.

“Antara langkah yang telah dilaksanakan termasuk penurunan kuasa oleh SPA bagi pelantikan kontrak skim perkhidmatan di KKM, pengecualian syarat temu duga bagi pelantikan tertentu, pewujudan jawatan baharu melalui projek fasiliti baharu dan naik taraf, penambahbaikan beberapa elaun seperti Elaun Atas Panggilan dan elaun berkaitan tugasan selepas waktu pejabat.

“Untuk tahun 2026, JPA telah meluluskan sebanyak lebih 18,000 pengisian bagi jawatan di gred lantikan yang meliputi pelbagai skim perkhidmatan termasuk skim di dalam klasifikasi perkhidmatan perubatan dan kesihatan.

“Urusan pengambilan ini akan dilaksanakan secara strategik bersama dengan SPA bagi memastikan pelantikan dilaksanakan mengikut perancangan,” katanya.

Pada masa sama, KKM mengambil maklum pandangan dan keprihatinan pelbagai pihak berhubung isu pengurusan tenaga kerja kesihatan, khususnya yang melibatkan Pegawai Perubatan di bawahnya.

Katanya, pihaknya amat menghargai pandangan yang mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh sistem kesihatan negara demi kesejahteraan rakyat namun pengurusan tenaga kerja kesihatan melibatkan beberapa agensi kerajaan dengan peranan khusus masing-masing.

“Penetapan kuota perjawatan adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), urusan pelantikan dilaksanakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), manakala KKM bertanggungjawab mengurus permohonan, pengisian, penempatan dan penyampaian perkhidmatan kesihatan di fasiliti KKM,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN