KUALA LUMPUR: Malaysia menyatakan kesediaan untuk menjadi rakan strategik boleh dipercayai kepada China dalam industri kenderaan elektrik (EV), teknologi bateri dan tenaga baharu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika dunia memasuki era industri baharu, Malaysia dan China perlu melangkaui hubungan berasaskan perdagangan semata-mata.
Sebaliknya, kata beliau, Malaysia dan China perlu bekerjasama untuk mula membina industri masa depan khususnya dalam industri kenderaan elektrik (EV), teknologi bateri dan tenaga baharu.
Tambahnya, kepercayaan antara kedua-dua negara juga mesti diterjemahkan kepada kerjasama yang berpandangan jauh ke hadapan.
“Ini bermakna memperluaskan kerjasama dalam mobiliti elektrik, teknologi bateri, tenaga boleh diperbaharui, pembuatan pintar, sistem digital dan pembangunan bakat.
“Malaysia menawarkan kedudukan strategik, asas industri yang semakin berkembang dan tenaga kerja muda yang boleh dilatih.
“China pula menawarkan kekuatan teknologi, skala industri dan kepimpinan terbukti dalam industri tenaga baharu,” katanya dalam ucapan pada Forum Malaysia-China Mengenai Pembangunan Bakat dan Inovasi EV, Bateri dan Tenaga Baharu (MCEF 2026), di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, dunia kini bukan sekadar mengalami perubahan sebaliknya ia sedang dibentuk semula khususnya dalam sektor ekonomi yang ditakrifkan melalui teknologi, kecerdasan buatan (AI), pendigitalan, automasi dan peralihan global ke arah tenaga bersih dan mampan.
Katanya, perubahan itu turut membawa makna berbeza kepada daya saing apabila sesebuah negara tidak lagi dinilai hanya berdasarkan sumber dimiliki, tetapi kepada bakat yang dibangunkan, teknologi yang dikuasai dan seberapa cepat menerima perubahan.
“Inilah sebabnya EV, teknologi bateri dan sistem tenaga baharu amat penting. Ia mewakili satu ekosistem industri baharu yang menghubungkan penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembuatan maju, semikonduktor, perisian, penyimpanan tenaga, infrastruktur pengecasan dan paling penting, modal insan.
“Dalam landskap baharu ini, negara yang bergerak lebih awal akan membentuk masa depan. Negara yang melabur dalam bakat akan memimpin masa depan dan negara yang membina kerjasama kukuh akan mendapat manfaat daripada masa depan tersebut.
“Malaysia memahami realiti ini. Kita bukan berada di sini untuk sekadar menyaksikan ekonomi masa depan dari tepi gelanggang sebaliknya mahu mengambil bahagian, menyumbang dan menjadi rakan strategik dipercayai dalam fasa pertumbuhan industri baharu rantau ini,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, pada tahun lalu sahaja, jualan global EV mencecah kira-kira 21 juta unit dengan satu daripada setiap empat kereta baharu yang dijual di seluruh dunia.
Katanya, China terus menerajui peralihan itu dengan pengeluaran lebih 16 juta kenderaan tenaga baharu, manakala di ASEAN, jualan EV dan kenderaan elektrifikasi meningkat 62 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun lalu.
“Namun, peralihan ini tidak terhad kepada kenderaan sahaja. Ia melibatkan bateri, infrastruktur pengecasan, semikonduktor, sistem perisian, penyimpanan tenaga, kesiapsiagaan grid dan pembuatan maju. Dengan kata lain, EV bukan satu industri tunggal. Ia adalah keseluruhan ekosistem,” katanya. – UTUSAN










